NURUL IZZAH: ‘MANSUH SAHAJA JAWATAN MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN’

KUALA LUMPUR – PKR hari ini mengusulkan agar jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dimansuhkan bagi membolehkan kuasa dikembalikan kepada warga kota.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar mendakwa,  selepas Wilayah Persekutuan ditadbir di bawah kerajaan persekutuan, peranan rakyat semakin diketepikan kerana semua perkara dikuasai oleh kementerian itu.

“Dengan lantikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sebelumnya diwujudkan sebagai suruhanjaya ibu kota, DBKL menerima mandat langsung daripada Menteri dan bukan lagi menerusi pemilihan rakyat.

“Saya mendesak agar kuasa diberikan kepada warga kota dan mungkin sahaja usul agar jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dimansuhkan lebih-lebih lagi untuk individu yang berkepentingan dalam parti pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menggariskan lima tuntutan untuk membangunkan semula Wilayah Persekutuan sejajar dengan desakan semasa dan sebagai pemacu untuk menuju ke arah negara maju.

“Mencorak pembangunan seimbang, lestari dan teratur- Kuala Lumpur perlu dibangunkan secara seimbang dan perlu berteraskan aspirasi warga kota,” katanya.

Katanya lagi, perlunya pengawalseliaan aliran trafik ketika waktu puncak, penggunaan komposisi tar jalan yang berkualiti bagi mengurangkan kekerapan pembaikpulihan jalan.

“Dan perlu menyediakan lebih banyak perumahan awam mampu milik yang berkualiti di samping mempercepatkan proses permohonan rumah PPR di Kuala Lumpur kepada mereka yang berkelayakan,” katanya.

Ujarnya lagi, sistem perparitan dan kawalan banjir di Kuala Lumpur perlu ditambah baik di samping memelihara serta memulihara kawasan hijau di Kuala Lumpur.

“Membersihkan sistem perparitan dan saliran air dengan menubuhkan unit khas yang melibatkan pakar di samping mengemaskini status laporan peruntukan RM15 juta yang disalurkan untuk atasi banjir kilat di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, katanya perlu dipastikan supaya tidak ada lagi projek mahal tanpa kesan seperti projek gergasi Taman Tugu yang dijangka menelan belanja RM650 juta kononnya berlandaskan penghijauan Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Nurul Izzah  menggesa agar Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd kembali menyerap semangat menjadi pelindung warga kota yang menggariskan dasar-dasar pro rakyat dan bukan hanya pro menteri.

“Dana yang diperuntukkan sebanyak RM 2.871 billion kepada DBKL adalah untuk memelihara kesejahteraan 1.76 juta penduduk warga kota, bukan hanya mengeluarkan arahan untuk halwa telinga Menteri semata-mata,” katanya.

– Sinar Harian

.