NURUL IZZAH MAHU JK PILIHAN PARLIMEN BIDANG PERTAHANAN

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengulangi desakan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi bidang pertahanan.

“Parlimen seharusnya menjadi medan membincangkan isu pertahanan negara yang menjadi keprihatinan semua Ahli Dewan Rakyat tanpa menjejaskan kesiap sagaan negara berdepan sebarang kemungkinan.

“Saya khuatir, kealpaan pihak berkuasa negara ini untuk bertindak membuka jalan berulangnya serangan kimia Nerve Agent VX di KLIA2 tidak lama dahulu,” kata beliau dalam kenyataan.

Kegagalan pihak berkuasa mengesan senjata yang merupakan bahan kimia yang paling berbahaya di dunia dan dikategorikan sebagai ‘senjata pemusnah besar-besaran itu’ ternyata meletakkan ribuan penumpang KLIA2 dalam bahaya, jelas beliau.

Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR berkata demikian susulan kes ‘kehilangan’ radar berteknolgi tinggi yang kemudiannya dilaporkan sudah sampai ke Belanda.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Datuk T Subromaniam memaklumkan radar berkenaan sudah sampai ke Pelabuhan Rotterdam, Belanda.

Siasatan yang dijalankan Kastam menjurus kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah Akta Pemerdagangan Strategik 2010.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, semua pihak belum jelas mengenai peralatan berteknologi tinggi yang dimaksudkan itu selain kurang faham fungsi dan kemampuan sebenar peralatan itu.

“Adakah ini bermakna peralatan terbabit masuk ke negara ini tanpa permit yang diperlukan. Apakah kandungan siasatan berkenaan dan apakah hasilnya.

“Bagaimanakah peralatan ini keluar dari negara kita tanpa disedari atau tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa,” tanya beliau.

– M’kini

.