NURUL: Bukannya mudah Anwar salami Mahathir

Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘mengetepikan’ penderitaan dialaminya dengan berjabat salam dengan tokoh yang didakwa menjadi punca kesengsaraan itu baru-baru ini bukan sesuatu yang mudah.

Kata Nurul Izzah Anwar pertemuan berkenaan antara bapanya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berlaku dan membayangkan perlunya bergerak ke depan demi mengukuhkan demokrasi di negara ini.

Bercakap kepada media Australia Nurul Izzah berkata bapanya mengutamakan negara melebihi penderitaan peribadi yang ditanggungnya selama ini.

“Hakikat bahawa bapa saya bersalaman dan mampu tersenyum mesra adalah simbol pentingnya bergerak ke depan untuk memperkuatkan demokrasi Malaysia berbanding memfokuskan kesengsaraan peribadi,” katanya dipetik ABC’s News 24.

Nurul Izzah adalah anak sulung Anwar.

Dr Mahathir menyingkirkan Anwar daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada 1998 atas tuduhan salah laku seks dan rasuah.

Anwar dan keluarganya secara konsisten menafikan tuduhan berkenaan.

Pada hari terawal penahanannya di Bukit Aman Anwar dibelasah Tan Sri Rahim Nor yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Polis Negara. Rahim sudah didapati bersalah atas tindakan itu dan meletak jawatan pada Januari 1999.

Pemecatan Anwar juga menandakan berakhirnya hubungan baik antara beliau dengan Dr Mahathir yang sebelum itu dilihat begitu akrab.

Penyokong Anwar dan sebahagian rakyat melihat Dr Mahathir adalah punca kepada pelbagai tuduhan dan pendakwaan dilakukan ke atas bekas timbalan perdana menteri itu.

Bagaimanapun pada 5 Septembur lalu kedua-dua mereka bertemu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas 18 tahun tidak dilihat bersemuka.

Dr Mahathir hadir ke situ untuk menunjukkan sokongannya kepada permohonan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang memberi kuasa kepada sebuah badan diketuai perdana menteri jika berlaku darurat.
Selain Anwar, keluarga beliau dilihat menjadi antara pihak paling terkesan dengan pendakwaan serta hukuman yang dikenakan ke atas bekas anggota parlimen Permatang Pauh berkenaan.

Ketika ini Dr Mahathir bersama penyokongnya menggerakkan sebuah pertubuhan baru – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan bekerjasama dengan pembangkang untuk mencabar kerajaan BN diketuai Datuk Seri Najib Razak. – M’kini

.