NUR JAZLAN MINTA ANWAR BERI PENJELASAN

JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan tentang tindakan Ketua Umum PKR itu yang mengeluarkan kenyataan ketika masih dalam tempoh tahanan.

Menurutnya, ini kerana sebarang bentuk komunikasi yang dikeluarkan oleh seseorang banduan adalah tertakluk di bawah Ketua Pengarah Jabatan Penjara.

“Sejak akhir-akhir ini, saya melihat banyak kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar, saya hendak bertanya kepada beliau adakah kenyataan itu beliau keluarkan atau tidak.

“Segala komunikasi yang dikeluarkan oleh seorang banduan dikawal oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara. Ini bermakna beliau tidak bolen keluarkan apa-apa kenyataan sewaktu beliau dalam penjara melainkan ada kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Ulang Tahun Persatuan Kebajikan Anak Minangkabau negeri Johor kali ke-7 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata, antara kenyataan terbaru yang dikeluarkan Anwar termasuklah dikatakan merestui dengan cadangan Pakatan Harapan (Harapan) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

“Adakah benar, beliau (Anwar) pernah mengeluarkan kenyataan seperti berikut iaitu beliau (Anwar) kenakan tiga syarat untuk Tun Dr Mahathir menjadi calon Perdana Menteri serta Ketua Harapan.

“Kalau ada orang tengah yang membawa mesej daripada Datuk Seri Anwar yang tidak diluluskan oleh Jabatan Penjara, ia merupakan satu kesalahan yang boleh memberikan impak kepada tempoh tahanannya.

“Yang kedua, kalau ada orang ketiga yang membawa kenyataan daripada beliau, ini juga merupakan kesalahan dan boleh diambil tindakan yang mana dia juga boleh dikenakan hukuman tidak dibenarkan lagi berjumpa beliau (Anwar),” katanya.

Beliau berkata, sebarang bentuk tindakan seseorang banduan itu perlu mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Penjara.

“Ini juga termasuk soal mahu melawatnya dan sebagainya. Dia (Anwar) juga tidak ada hak untuk membuat sebarang kenyataan,” katanya yang memberitahu telah mengarahkan Jabatan Penjara untuk dapatkan penjelasan daripada Anwar.

Tahun lalu, portal berita melaporkan kenyataan Anwar berhubung kebimbangannya terhadap keganasan akan meningkat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 selepas kekecohan pada forum ‘Nothing To Hide 2.0’, Ogos tahun lalu.

Anwar berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan hak dan kebebasan semua orang termasuk Tun Mahathir untuk menyampaikan pandangan dipelihara.

Beliau dihukum penjara selama lima tahun sejak 2014 atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya dan kini sedang menjalani hukuman tersebut di Penjara Sungai Buluh dan dijangka akan dibebaskan pada Jun depan.

–¬†http://www.sinarharian.com.my

.