NUR JAZLAN: 3 JUTA RELA TAK SOKONG SHAFIE

Presiden parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan mendapat sokongan daripada lebih tiga juta anggota Sukarelawan Malaysia (RELA) menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ini susulan kenyataan Shafie yang mempersoalkan kredibiliti dan memperlekeh peranan anggota RELA yang ditugaskan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) baru-baru ini.

“Kenyataan Shafie Apdal betul-betul tidak bertanggungjawab dan tidak benar sama sekali.

“Shafie Apdal tidak akan mendapat sokongan daripada 3 juta anggota RELA yang merasa tersinggung dengan apa yang dinyatakan beliau,” kata Nur Jazlan ketika diminta mengulas apakah tindakan yang akan di terima Mohd Shafie ekoran kenyataannya itu.

Nur Jazlan berkata demikian dalam sidang media Majlis Kesyukuran RELA Malaysia di Putrajaya, hari ini.

RELA dalam satu kenyataan pada 16 Jan lalu menyatakan rasa kesal dengan kenyataan yang dibuat Shafie mempersoalkan kredibiliti dan memperlekeh peranan anggotanya.

“RELA berpendapat kenyataan presiden parti itu sangat mengelirukan terutamanya kepada masyarakat Sabah dan ia merupakan satu penghinaan kepada 3.05 juta ahli RELA di seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Dalam satu video tular baru-baru ini, Mohd Shafie mempertikaikan tindakan menempatkan anggota RELA yang tidak mahir dalam mengendalikan senjata api untuk penugasan di Esszone.

Shafie dilaporkan berkata bahawa anggota RELA hanya sesuai untuk perkhidmatan kawalan trafik di majlis-majlis kenduri sahaja.

RELA bagaimanapun menegaskan bahawa anggota yang dipilih untuk penugasan itu perlu melalui kursus asas khas termasuk kursus pengendalian senjata api.

Tambah Nur Jazlan lagi, rakyat tidak perlu menghukum bekas naib presiden Umno itu kerana sudah jelas Shafie seorang pemimpin yang tidak mementingkan rakyat.

“Tak payah kita nak hukum dia lebih lagi, yang pentingnya beliau nampaknya merupakan seorang pemimpin yang tidak mementingkan hati rakyat serta tidak bersimpati dengan pengorbanan yang dilakukan oleh anggota RELA yang membuat kerja mereka secara sukarela,” katanya.

– M’kini

.