NUFAM PERSOAL JANJI MENTERI BELA BEKAS PEKERJA MAS

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) mengingatkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berhubung janji beliau untuk membela kebajikan para pekerja yang diberhentikan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) pada 2014.

Nufam berkata demikian susulan kenyataan Riot yang berkata kes-kes bekas kakitangan MAS tidak akan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan tanpa memberikan justifikasi.

“Menteri berkenaan dipetik media berkata kementerian beliau akan membantu para pekerja dan kebajikan serta hal-ehwal mereka akan dijaga.

“Jadi kenapa beliau tidak mengotakan janji sekarang,” soal kenyataaan Nufam hari ini.

Keputusan untuk tidak merujuk kes-kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan hanya diketahui umum apabila Nufam menyelar sikap tidak responsif Kementerian Sumber Manusia.

Keputusan menteri tidak disedari

Seramai 3,600 orang daripada 6,000 pekerja MAS yang diberhentikan telah memohon untuk merujuk kes mereka ke Mahkamah Perusahaan.

“Kesatuan hari ini sangat sibuk memberitahu kesemua mereka yang terlibat kerana ramai yang tidak sedar dengan keputusan yang dibuat menteri. Ramai orang terkejut kerana tiada surat yang disampaikan kepada mereka.

“Sangat tidak adil untuk menteri berkenaan untuk tidak merujuk kes-kes ini ke mahkamah tanpa memberikan sebab-sebabnya,” kata Nufam.

Nufam mempersoal kenapa Kementerian Sumber Manusia secara tiba-tiba mengambil langkah ini kerana pada peringkat awalnya, pihak kementerian sangat membantu kepada para pekerja yang diberhentikan dalam memfailkan kes-kes untuk tindakan di Mahkamah Perusahaan.

“Sebagai Menteri beliau harus mengambil berat dalam hal hal pembuangan pekerjaan dalam negara ini dan isu pembuangan pekerja di MAS adalah paling terbesar dalam sejarah industri penerbangan.

“Kalau syarikat itu bankrap kita faham, tetapi dalam isu MAS, syarikat MAS tidak pun disenaraikan sebagai syarikat muflis,” kata kenyataan itu.

Namun, Nufam berkata sebahagian besar kakitangan pengurusan tertinggi syarikat MAS masih dikekalkan tetapi kira-kira 6,000 orang hilang pekerjaan.

“Isu pembuangan pekerja MAS ini merupakan satu isu sejarah detik hitam kepada industri penerbangan di dalam negara ini,” kata kenyataan itu lagi.

Nufam berkata mereka telah menghantar surat bantahan kepada kementerian sumber manusia hari ini bagi menyatakan ketidakpuasan hati berhubung cara kementerian itu mengendalikan isu ini.

– M’kini

.