NOTHING TO HIDE 4.0, SEDIAKAH HADI AWANG SEPENTAS DENGAN TUN MAHATHIR MENJAWAB PERSOALAN MEMALI?

Presiden Pas, Hadi Awang menyalahkan jawapan Tun Mahathir Mohamad yang tidak memuaskan hati mereka yang hadir sebagai punca berlakunya kekecohan dalam program Nothing To Hide 2.0, Ahad lalu.

Kata beliau, tragedi berdarah pada 1985 itu memberi kesan kepada Pas kerana seorang pemimpinnya, Ibrahim Mahmud turut terkorban dalam kejadian itu.

Semua pihak menuding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang diberi mengenai peristiwa Memali tidak memuaskan hati, ujarnya dalam satu kenyataan.

Untuk makluman Hadi Awang, Tun Mahathir hanya memberikan jawapan dari segi persepektif tindakan polis dan kerajaan berdasarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika kejadian itu berlaku.

Tetapi, Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap polis pada waktu kejadian ialah Tun Musa Hitam.

Pada awalnya, dilaporkan Tun Mahathir berada di luar negara ketika itu, namun Tun Musa dalam bukunya, Frankly Speaking mendedahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di dalam negara ketika tercetusnya peristiwa Memali.

 

Soalnya, apakah hanya kerana Tun Mahathir berada di dalam negara, kesalahan mesti diletakkan sepenuhnya ke atas bahu beliau?

Apakah Tun Musa yang menjadi Menteri Dalam Negeri terlepas sama-sekali daripada pertanggungjawaban semata-mata kerana Tun Mahathir berada di dalam negara?

Adakah kerajaan dan pihak polis saja yang bersalah sepenuhnya dalam peristiwa Memali itu?

Dalam konteks Memali, sejak dahulu lagi sudah ada dakwaan dan cakap-cakap yang meluas bahawa dikatakan sebab lain terjadinya peristiwa tersebut ialah kerana sikap fanatik Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan para pengikutnya yang begitu totok memusuhi UMNO dan kerajaan dan ianya didakwa berpunca daripada Amanat Hadi sendiri yang dilafazkannya pada 1981.

Amanat itu didakwa membentuk sikap taksub sehingga wujudnya amalan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam, tidak makan sembelihan orang UMNO, meragui keislaman pihak lain dan sedia syahid dengan pihak yang dimusuhi, meskipun sama-sama beragama Islam.

Bolehkah Hadi menjelaskannya secara jujur dan tanpa berselindung perkara itu?

Untuk menjernihkan kekeruhan yang berpanjangan selama ini, mahu tidak mahu, bermakna satu satu lagi program Nothing To Hide perlu diadakan. Mungkin sebuah NGO bebas perlu tampil sebagai penganjurnya.

Nothing To Hide 1.0 pernah diadakan tidak lama dulu dan dianjurkan oleh sebuah NGO, tetapi Najib membatalkan kehadiran di saat-saat akhir sebaik mengetahui Tun Mahathir turut sama menghadirinya.

Akhirnya hanya Tun Mahathir seorang yang hadir dan diberi kesempatan berucap sebelum diarahkan oleh pihak polis menghentikan ucapannya.

Nothing To Hide 2.0 anjuran Armada Bersatu baru diadakan Ahad lalu dan  berakhir dengan kekecohan di mana selipar, kasut, botol dan kerusi berterbangan bersama bom asap.

Najib juga dijemput untuk duduk sepentas dengan Tun Mahathir kali ini, tetapi langsung tidak memberikan jawapannya. Sehingga ke hari program, Najib ternyata tidak berani berdepan dengan Tun Mahathir dan akhirnya hanya Pengerusi Pakatan Harapan itu tampil seorang diri.

Nothing To Hide 3.0 sudah ditempah oleh Jamal Md Yunus, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan Ketua Gerakan Baju Merah yang bakal bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 2018 nanti.

Beliau berhasrat untuk mengadakan program tersebut di kawasan Chow Kit dengan menampilkan Azmin Ali, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sebagai jemputan.

Beliau bagaimanapun enggan menjemput Tun Mahathir atas alasan bagi mengelakkan kekecohan seperti di Shah Alam berulang. Jamal juga tidak menamakan siapa pemimpin UMNO yang bakal dijemputnya.

Hmmmm…entah jadi entah tidak Nothing To Hide 3.0 itu atau hanya sekadar gempar Jamal untuk meraih publisiti saja?

Berikutan Hadi menyalahkan jawapan Tun Mahathir sebagai punca kekecohan dan dalam waktu yang sekian lama Amanat Haji Hadi juga dikaitkan sama, bermakna Nothing To Hide 4.0 adalah amat sesuai dan perlu diadakan dengan mempertemukan kedua-dua pemimpin tersebut untuk menjernihkan segala kekeliruan dan salah tanggap mengenai peristiwa Memali selama ini.

Sediakah Hadi duduk sepentas dengan Tun Mahathir dan berterus-terang kepada seluruh rakyat Malaysia?

http://shahbudindotcom.blogspot.com

.