‘NOTHING TO HIDE 2.0’: SIAPA SEBENARNYA YANG BERSALAH?

MERUJUK kejadian yang berlaku di forum Nothing To Hide 2.0 tempoh hari, saya pun turut merasa marah dan bersedih atas perbuatan biadap dan kurang ajar belia kita.

Naluri mendesak supaya saya turut serta dengan suara di luar sana yang saling menuding jari ke puak politik bertentangan. Tidak kurang juga suara yang menghentam belia tersebut di atas perbuatan mereka.

Tetapi, sejenak saya berfikir, siapakah sebenarnya yang bersalah?

Jika kita ketepikan retorik politik sebentar, dan fikir dengan mendalam, kita harus akui bahawa retorik politik di Malaysia sekarang inilah yang meracuni fikiran generasi muda kita.

Fikirkan.

Tak berapa minggu sahaja sebelum ini kita mendengar cemuhan timbalan perdana menteri kita ke atas mantan Perdana Menteri Dr.Mahathir hanya kerana berdarah campuran.

Dan siapa antara kita yang tidak kenal Jamal (Yunos), yang perangai samsengnya sering mencetuskan keganasan di kalangan rakyat sehingga ada yang cedera.

Siapa yang boleh lupakan juga demonstrasi jalanan yang seringkali bertukar menjadi ganas sehingga mencederakan orangramai dan hartabenda awam.

Kebenarannya adalah kita sebagai masyarakat telah menjadi begitu lali dengan politik kebencian sehingga keganasan dan cemuhan serta cacian sudah menjadi sebati dengan jiwa kita.

Sehingga kita lupakan bahawa politik kebencian dan tidak matang ini, mendidik anak-anak kita agar tidak mempedulikan yang Bathil dan yang Haq.

Anak-anak kita membesar di dalam suasana di mana perbezaan dicemuh, perbezaan pendapat dicaci, dan perbezaan agama dan bangsa bezanya antara Syurga dan Neraka.

Anak-anak kita membesar di dalam suasana di mana yang tua dan matang sibuk berpolitik atau mencari nafkah hinggakan tiada masa mendengar permasalahan belia kini.

Tidak hairanlah jika ini yang menyebabkan anak-anak kita kehilangan pedoman moral dan terus tiada tempat mengadu.

Seharusnya masyarakat mendengar keluhan mereka dan menunjukkan jalan yang benar kepada anak-anak ini, lalu membimbing mereka agar kesilapan dan kekhilafan yang lalu tidak berulang lagi.

Sepatutnya, masyarakat memeras otak memikirkan bagaimana hendak membantu belia ini melalui ranjau hidup di dalam suasana mencabar kini.

Tetapi masyarakat lalai sehingga kejadian seperti ini menimbulkan tanda tanya, apakah salah kita dan di mana hilangnya peradaban Melayu kini.

Kita mesti mengorak langkah yang lebih positif dan mulakan dengan tidak mempolitikkan masa depan anak-anak kita.

Ini bermakna semua pihak bekerjasama menjana solusi yang mantap untuk masa depan anak-anak kita dari segi moral dan jasmani.

Jadikan kejadian terbaru ini sebagai satu pembelajaran, di mana kegagalan kita hampir membawa kepada kehancuran sebuah peradaban. Keadaan masih belum terlambat.

* Tariq Ismail adalah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

.