‘NOTHING TO HIDE 2.0’ KECOH, NAJIB PERLU JAWAB

PERDANA Menteri Najib Razak harus bertanggungjawab atas kekecohan yang berlaku semasa forum “Nothing to Hide 2.0” hari ini kerana kegagalan pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan, kata pemimpin pembangkang.

Mereka berkata, ini membuktikan Pakatan Harapan (PH) yang bersatu di bawah Dr Mahathir Mohamad dan jelajah penerangan mengenai skandal 1MDB ditakuti “pihak tertentu.”

“Najib harus bertanggungjawab kerana pentadbirannya gagal menjaga keselamatan forum itu dan negarawan seperti Dr Mahathir,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar kepada The Malaysian Insight.

“Sekiranya Najib berani datang untuk berdepan dengan Dr Mahathir dalam forum itu hari ini, mungkin kekecohan sebegini tidak akan berlaku.”

Forum yang padanya awalnya berlangsung dengan aman hari ini bertukar kecoh apabila terdapat peserta yang melemparkan kasut dan membaling suar ketika acara itu sedang berlangsung.

Forum yang bermula pada jam 4 petang itu bertukar menjadi tidak terkawal selepas Dr Mahathir menjawab soalan peserta mengenai insiden Memali.

Menurut Mahfuz, tindakan provokasi tidak akan berani dilakukan hari ini sekiranya tiada jaminan dan perlindungan daripada pihak berkuasa.

“Biasanya begitu, budak-budak muda itu tidak akan berani buat kacau macam tu sekiranya tiada jaminan dan perlindungan,” kata bekas ketua penerangan PAS itu.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, selepas pembangkang menjadi semakin kuat dengan PH dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin difahami rakyat, banyak provokasi akan dilakukan.

“Tetapi kami tidak takut. Kami akan teruskan jelajah 1MDB dan segala aktiviti selagi ianya masih dalam kerangka demokrasi,” kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

“Cuma saya nak nasihatkan supaya kita lebih berhati-hati kerana lebih banyak provokasi sebegini akan berlaku.”

Sementara Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, PH akan meningkatkan kawalan keselamatan selepas keganasan yang berlaku semasa forum hari ini.

“Sangat jelas, ada pihak yang tidak tahan dengan tekanan sehingga terpaksa menggunakan samseng.

“Kami tidak akan berhenti, tetapi akan meningkatkan keselamatan dan patuh kepada undang-undang,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Semua pihak harus kecam keganasan

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menggesa semua pihak tanpa mengira parti politik untuk mengecam tindakan ganas yang berlaku di Shah Alam hari ini.

“Saya gesa pihak PDRM untuk segera mengenalpasti mereka yang terlibat dalam kekacauan ini dan menghadapkan mereka ke muka pengadilan.

“Puak-puak desperado dan taksub kuasa yang tidak senang dengan forum seperti ini adalah mereka yang bersifat ‘Too Much to Hide’ (terlalu banyak untuk disembunyikan),” katanya.

Fahmi berkata, seharusnya forum hari ini dibenarkan berjalan kerana Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi.

Ahli Strategi DAP Liew Chin Tong mengatakan, terdapat pihak tertentu yang sanggup melakukan apa saja demi memastikan Umno terus berkuasa.

“Semua rakyat Malaysia perlu mengutuk tindakan seperti ini yang menjadi ancaman kepada demokrasi di negara kita,” kata ahli Parlimen Kluang itu.

“Saya betul-betul marah apabila diberitahu mengenai insiden hari ini.”

Menurut Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu Dr Rais Hussin oleh kerana sebelum ini pihak berkuasa pernah mengambil tindakan dan mendakwa seorang penari kerana melepaskan belon kuning di pusat membeli belah, tiada alasan untuk tindakan diambil terhadap pihak yang melakukan kekacauan hari ini.

“Ia boleh mencederakan dan menyebabkan seseorang mati ketika kekecohan berlaku. Suar boleh bertukar menjadi api yang membakar seseorang.

“Sebab itu pelakunya mesti ditahan, disiasat dan didakwa menggunakan proses undang-undang,” katanya.

Rais berkata, Bersatu dan PH tidak akan berhenti untuk berjuang untuk membebaskan Malaysia daripada kleptokrasi dan keganasan samseng.

“Kami tidak takut dengan tindakan pengecut seperti itu kerana rakyat akan bersama kami untuk menghentikan tindakan ganas seperti hari ini,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.