NOTA RAFIZI: KAU AKAN FAHAM, ANAKKU

Malam sebelum Rafizi Ramli ditetapkan hadir di mahkamah untuk menerima keputusan kerana mendedahkan data akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), beliau memberikan ciuman terakhir untuk anaknya sebelum tidur.

Naib presiden PKR itu sudah menjangka beliau akan didapati bersalah dan jika hakim tidak membenarkan rayuan, beliau tidak akan dapat melihat anaknya lagi selepas dipenjarakan.

Rafizi juga menulis nota untuk anak lelakinya yang berumur empat tahun itu sejak 2013 bagi menjelaskan mengapa beliau terpaksa melakukan perkara itu dan kemungkinan menghabiskan masa di penjara.

“Saya menulis nota kepadanya ketika saya pergi.

“Ia adalah nota yang saya tulis dari masa ke masa, jadi jika apa-apa berlaku, dia ada nota yang dia boleh baca selepas empat atau lima tahun. Tetapi bukan sekarang (kerana) dia tidak faham,” kata Rafizi dalam temubual bersama Malaysiakini.

Daripada pengalaman rakan-rakannya yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Rafizi berkata anak-anak mereka yang paling menerima kesan.

“Jika ibu bapa tidak menjelaskan kepada anak-anak mengapa ini harus berlaku, mereka mungkin akan menyakahkan ibu bapa.

“Kerana sangat mudah bagi orang ramai di luar sana untuk mengatakan bahawa ibu bapa seperti itu mementingkan diri sendiri, bahawa ayahnya melakukan ini untuk dirinya sendiri dan hasilnya (anak-anak) harus menderita.

“Saya mula menulis nota peribadi supaya dia (anak) benar-benar dapat memahami bahawa ada sebabnya dan bukan kerana kita tidak memikirkannya,” katanya.

Rabu lalu, Rafizi dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan selepas disabitkan bersalah kerana membocorkan data akaun bank NFC.

Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan sementara menunggu rayuan. Rafizi juga berdepan hukuman penjara 18 bulan kerana sabitan lain di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

‘Adakah dia faham?’

Anggota Parlimen Pandan itu berharap sekiranya dipenjarakan sekalipun, beliau tidak mahu anaknya mengingati apa yang berlaku terhadapnya.

“Tapi sekarang dia ingat. Saya tidak tahu sama ada, pada umur empat tahun dua bulan, dia mempunyai pemahaman (apa yang sedang berlaku).

“Dia sedar, jika saya tiada buat seketika, seperti contoh jika saya meninggalkannya selama dua atau tiga hari, dia akan merajuk. Tetapi selain itu, saya tidak fikir dia faham,” katanya. .

Sekarang permata hatinya akan menginjak usia lima tahun dan jika Rafizi menjalani hukuman di penjara beliau akan terlepas hari persekolahan anaknya itu.

“Saya fikir saya akan bergelut pada minggu-minggu awal kerana anak saya. Bukannya ibu bapa atau isteri saya atau adik-beradik saya tidak penting, tetapi mereka sudah menjangkakan perkara ini.

“Ia tidak mengejutkan mereka, mereka faham bahawa saya akan dapat menguruskan kehidupan di penjara,” katanya.

Isterinya, juga seorang aktivis bersedia menghadapi ujian itu selepas memutuskan untuk berkahwin dengannya dan selepas beliau meninggalkan dunia korporat.

“Isteri saya kool mengenai perkara ini, saya rasa dia lebih kuat daripada saya sendiri. Dia tahu benar apa yang kami buat,” katanya.

– M’kini

.