NOR MOHAMED YAKCOP SELAMATKAN NEGARA PADA 1997, KATA DR MAHATHIR

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka memberi keterangan petang ini di depan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) 25 tahun lalu.

The Malaysian Insight difahamkan Dr Mahathir dijadual bercakap tentang peranannya sebagai perdana menteri pada tahun 1980-an hingga 1994, ketika BNM mengalami kerugian berbilion ringgit dalam urus niaga mata wang asing itu.

Dr Mahathir adalah perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Pemimpin berusia 92 tahun itu dijangka menegaskan beliau tidak mengetahui sejauh mana kerugian atau menyembunyikannya daripada pengetahuan orang awam.

Beliau juga dijangka bercakap tentang hubungan antara Pejabat Perdana Menteri dengan pentadbiran BNM dan mungkin menjawab dakwaan yang beliau menolak kerugian itu.

Semasa RCI berlangsung, seorang pegawai kanan BNM berkata Dr Mahathir berkata “kadang-kadang kita membuat keuntungan dan kadang-kadang kita kerugian.”

Dr Mahathir memberikan kenyataannya pada Jumaat lalu, selepas pegawai polis yang dilantik RCI menemubualnya selama dua jam di Yayasan Al-Bukhary.

Bagaimanapun, kenyataan itu mungkin dihuraikan kepada dua bahagian berikutan isu tertentu yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri itu, kata peguamnya Mohamed Haniff Kathri Abdulla sebelum ini.

Dr Mahathir kini mengetuai pakatan pembangkang Pakatan Harapan. Ahli Parlimen pembangkang menggambarkan siasatan itu sebagai bermotifkan politik.

Sesi pendengaran RCI akan berakhir pada 20 September. Panel yang diketuai Pengerusi Petronas, Mohd Sidek Hassan, akan membentangkan penemuannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober.

Ikuti liputan secara langsung The Malaysian Insight:

2.30pm: Suhaimi Ibrahim bertanya kepada Dr Mahathir mengapa beliau tidak cuba untuk ketahui lebih lanjut mengenai urusniaga mata wang asing, memandangkan beliau telah pun tahu urusniaga itu adalah usaha untuk menyokong ringgit dan memelihara rizab BNM, selepas pendedahan Malaysia kepada pinjaman yen.

Suhaimi berkata pendedahan dan pembelian mata wang asing oleh BNM telah dilaporkan di berita dan dibangkitkan dalam kabinet pada November 1990.

Kata Dr Mahathir, beliau tidak mengambil serius semua berita luar negara kerana “media asing selalu menyerang saya”.

2.20pm: Pendengaran RCI disambung semula dengan Dr Mahathir meneruskan keterangan. Pegawai RCI, Suhaimi Ibrahim mengetuai soal jawab.

Suhaimi bertanya kepada Dr Mahathir jika kerajaan boleh campur tangan dalam aktiviti BNM melalui pegawai-pegawai Kementerian Kewangan yang menduduki lembaga BNM.

“Jika ada pegawai, mereka akan laporkan kepada kementerian masing-masing. Ia terpulang kepada pelbagai kementerian sama ada mahu maklumkan saya tau pun tidak. Laporan Kementerian Kewangan dibuat di kertas Parlimen,” kata Dr Mahathir.

1.00pm: Sesi pendengaran berhenti rehat untuk makan tengahari.

12.50pm: Testimoni Dr Mahathir di RCI dilihat bernada politik ketika beliau mengecam Perdana Menteri Najib Razak, mendakwa membenarkan RCI mengalihkan perhatian daripada isu-isu dan mencemar namanya.

“Selama 25 tahun ini, kerugian forex bukanlah perkara yang menganggu kita.

“Dari semasa ke semasa, tanpa menjawab soalan tertentu – soalan yang dibangkitkan oleh diri saya – Najib Razak menimbulkan pelbagai isu yang tidak relevan untuk mencemarkan kredibiliti saya – hanya supaya rakyat Malaysia mengalih perhatian daripada kekacauan yang ditimbulkan oleh Najib Razak,” katanya. Dr Mahathir.

12.40pm: Dr Mahathir kini bercakap mengenai bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yakcop yang juga bertanggungjawab dalam operasi forex di bank pusat.

“Saya melantik Nor Mohamed pada 1998 sebagai ahli kepada jawatankuasa kecil yang bertemu setiap pagi bagi mengatasi krisis ekonomi ketika itu. Beliau membantu dalam meningkatkan ekonomi dan memulihkan nilai ringgit semasa krisis ekonomi.

“Saya percaya ini menyelamatkan Malaysia daripada kehilangan ratusan juta ringgit.”

Dr Mahathir juga berkata beliau berasa bekas gabenor Jaffar Hussein adalah seorang lelaki bermaruah, “lelaki yang lurus, tegas” yang diletakkan keyakinan penuh.

“Saya ingin menyatakan kerugian antara tahun 1992 dan 1994 tidak menjejaskan semua sumbangan Jaffar yang berkhidmat kepada negara tanpa henti.”

Jaffar meletak jawatan pada 1994, mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kerugian forex, yang disifatkan oleh Dr Mahathir sebagai tindakan terpuji.

12.38pm: Dr Mahathir berkata beliau setuju dengan keterangan Anwar Ibrahim yang telah diberi pada minggu lepas.

Bekas perdana menteri itu juga berkata beliau tidak lagi mempunyai akses kepada  minit mesyuarat kabinet yang diadakan pada 30 Mac 1994 dan 6 April 1994.

“Tapi apa yang Anwar beritahu RCI adalah konsisten,” kata Dr Mahathir dan menambah yang beliau tidak percaya yang merupakan menteri kewangan selepas Daim akan sembunyikan sebarang maklumat dari BNM.

Beliau berkata dimaklumkan tentang kerugian mata wang asing melalui laporan Parlimen dan apa saja yang dilaporkan pada mesyuarat Kabinet.

12:30pm: Dr Mahathir menafikan dimaklumkan oleh bekas timbalan ketua setiausaha Clifford Herbert yang kerugian adalah RM30 bilion.

“Saya tidak akan menjawab dengan mengatakan ‘kadang-kadang kita membuat keuntungan dan kadang-kadang kita rugi’ jika saya dimaklumkan yang kerugian bank setinggi itu,” katanya merujuk kepada keterangan Herbert kepada RCI yang beliau (Dr Mahathir) tidak kisah apabila diberitahu tentang kerugian.

12.20pm: Dr Mahathir berkata BNM ditadbir oleh Ordinan Bank Negara Malaysia 1958 pada masa itu dan mempunyai “struktur pentadbiran” tersendiri yang diketuai oleh gabenor BNM ketika itu, Jaffar Hussein.

“Gabenor BNM bercakap dengan saya tetapi secara amnya hanya mengenai perkara dasar. Tiada perbualan yang memberi maklumat mengenai aktiviti BNM.

“BNM perlu membentangkan laporan kewangan tahunannya yang mesti diaudit terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan kemudian ke Parlimen,” katanya.

Beliau menambah pernah melawat bilik dagangan bank pusat di Kuala Lumpur sekali, pada akhir 1980-an, atas jemputan Jaffar selama kira-kira 30 minit sahaja.

Beliau berkata pada masa itu sebagai perdana menteri, beliau tidak tahu atau mengesyaki apa yang dilakukan BNM bertentangan dengan undang-undang.

“Saya akan mengambil tindakan untuk menangani perkara jika saya tahu,” katanya.

12.15pm: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi keterangan sebagai saksi ke-24 RCI.

Beliau memulakannya dengan berkata, “Setelah bersara daripada politik, dan kerana pelbagai pergolakan politik yang melanda negara, saya kembali dalam usaha ke arah menyelamatkan Malaysia.”

Beliau memperkenalkan dirinya sebagai pengerusi Pakatan Harapan dan menamakan empat parti komponen pembangkang, Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.

11.50am: Ahli panel RCI, Tajuddin Ali, berkata tatacara yang mentadbir bank pusat memerlukan lembaga pengarah BNM memaklumkan kepada menteri tentang dasar monetari dan perbankan umum, antara lainnya.

Daim berkata peguam Haniff Khatri Abdullah telah memaklumkan kepadanya yang BNM tidak melanggar mana-mana undang-undang dengan tidak memaklumkan kepada Kementerian Kewangan mengenai aktiviti-aktivitinya.

“RCI tidak boleh menecam BNM kerana tidak memaklumkan kepada Kementerian Kewangan mengenai urus niaga forex,” katanya.

11.30am: Pegawai RCI Suhaimi Ibrahim berkata Daim sebagai menteri kewangan sepatutnya tahu apa yang sedang berlaku dan mengambil tindakan terhadap BNM mengikut Akta Bank Negara Malaysia 1958. Beliau berkata dagangan forex semata-mata untuk mendapatkan keuntungan adalah salah dan Daim tidak seharusnya membenarkan bank “tersasar”.

Daim: Saya ada KWSP, Kastam, saya ada ekonomi, saya perlu berurusan dengan semua kementerian lain. Kami hanya tahu apabila ia dinyatakan dalam laporan. Sebelum itu, kita tidak akan tahu.

Kita belajar daripada pengalaman. Kami terpaksa menjaga 1,200 syarikat.

Suhaimi kemudian bertanya Daim mengenai Nor Mohamed Yakcop yang ketika itu menjadi orang yang bertanggungjawab menyelia dagangan forex.

Daim: Saya tidak pernah berinteraksi dengan Nor Mohamed Yakcop. Saya hanya berjumpa dengannya pada tahun 1997.

Seorang lagi anggota panel, Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Said, bertanya kepada Daim bagaimana beliau boleh mendakwa tidak tahu tentang perubahan dalam dasar bank (sebelum 1988 berhubung tindakan menyelamatkan rizab) untuk melakukan perdagangan forex yang agresif, ketika beliau (Daim) yang membantu Jaffar Hussein dilantik sebagai gabenor bank.

Kamaludin: Sebelum Jaffar, nampaknya para gabenor dilantik daripada kalangan mereka di dalam bank, (dengannya) nampaknya ada perubahan. Boleh berikan ulasan anda?

Daim: Gabenor sebelumnya mencadangkan Jaffar. Kami mahukan yang terbaik.

11.15am: Ahli panel Tajuddin Atan berkata BNM ketika itu sedang berurusan dengan pendedahan Malaysia terhadap Yen dan sebagai menteri kewangan, Daim sepatutnya tahu apa yang sedang berlaku kerana ia melibatkan isu global.

Tajuddin: Sekiranya anda mengatakan gabenor BNM tidak diperlukan memaklumkan kepada anda, adakah anda mengatakan beliau akan memberitahu perdana menteri?

Daim: Saya tidak tahu.

Sidek: Ketua setiausaha perbendaharaan adalah ahli lembaga BNM. Jika BNM mengklasifikasikan laporan sebagai OSA, adakah ini bermakna menteri kewangan tidak dapat mengaksesnya?

Bukankah wajib bagi ketua setiausaha perbendaharaan memaklumkan Kementerian Kewangan perkara yang perlu diketahui? Maaf, Tun, tetapi ia mandatori bagi ketua setiausaha memberitahu menteri.

Daim: Tetapi mereka tidak memaklumkan kepada saya.

Sidek. Dan (bekas juruaudit kanan P. Kanason Pothinker) juga mengetahuinya. Kedudukan beliau lebih rendah tetapi beliau tahu. Dan anda sebagai menteri yang begitu bagus, tidak tahu. Saya mendapati ia begitu ganjil. Tidakkah anda bersetuju?

Daim: Bagaimana saya boleh bersetuju atau tidak bersetuju apabila saya tidak dimaklumkan? Jika saya tahu perkara ini, saya tidak akan membenarkan ia berlaku. Saya akan memecat mereka. Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk bertindak. Perlu ada logik dalam pemikiran anda.

Sidek: Bahagian yang tidak masuk akal, Tun, adalah setiap orang nampaknya mengetahui mengenainya dan anda tidak tahu. Dengan hormatnya, Tun, OSA adalah untuk melindungi maklumat orang yang sepatutnya tahu. Dalam kes ini, anda sepatutnya tahu.

Daim: Ya, tetapi dalam kes ini, saya tidak tahu.

10.50am: Pengerusi panel RCI Mohd Sidek Hassan berkata ia merupakan “kewajiban” bagi Daim sebagai menteri kewangan untuk mengetahui apa yang berlaku di BNM.

Daim: Jika mereka memilih untuk tidak memberitahu saya, apa yang boleh saya lakukan? Bank-bank pusat di seluruh dunia, Amerika Syarikat, Australia, juga bebas. Kami tidak mempersoalkan, mereka membuat keputusan, kami tidak campur tangan. Peranan mereka adalah untuk memberitahu saya. Jika mereka tidak memaklumkan kepada saya, bagaimana saya tahu.

Sidek: Bukankah menjadi tanggungjawab anda menyelia BNM?

Daim: Dalam pengalaman lalu, kami semua cemerlang.

Seorang lagi ahli panel, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Saw Choo Boon, kemudian bertanya Daim jika wakil Kementeri Kewangan dalam lembaga pengarah BNM memaklumkannya.

Daim: Anda akan terkejut. Kami berada dalam banyak lembaga pengarah. Kerajaan pada masa saya mempunyai 1,200 syarikat. Saya hanya tahu (perkara) apabila ia melibatkan pengauditan akaun.

Sidek: Kita tidak diharapkan mengetahui semuanya, tetapi jika ia memberi kesan kepada negara, saya harap anda mengetahuinya.

Daim: Pada masa itu tiada langsung “market talk”.

Sidek: Malah ketua audit negara mengetahuinya.

Daim: Mereka sepatutnya memberitahu saya.

10.40am: Daim ditanya mengenai berapa banyak yang beliau tahu mengenai urusan BNM sebagai menteri kewangan. Beliau berkata bank pusat itu “sangat bebas” dan tidak dimaklumkan mengenai urus niaganya.

“Anda melantik orang yang bertanggungjawab untuk menjaga rizab itu. Ia bukan sesuatu yang anda boleh buat main-main.”

Pegawai RCI, Suhaimi Ibrahim, kemudian bertanya kepada Daim:

“Adakah anda masih ingat ucapan gabenor Jaffar Hussein pada Disember 1988 yang BNM merancang untuk ‘agresif’ dalam perdagangan forex untuk mengoptimumkan keuntungan?”

“Bukankah ia satu perubahan dasar daripada berhemat kepada terlibat secara aktif dalam perdagangan forex?”

“(Tidakkah) mereka perlu mendapatkan keputusan Tun mengenai sama ada urus niaga tertentu perlu diambil atau tidak?”

“Tidakkah ada mekanisme di mana anda mempunyai lembaga untuk mengawal operasi bank, dan di dalam lembaga ada pegawai daripada Kementerian Kewangan? (Bukankah) ada wakil kerajaan melalui pegawai Kementeri Kewangan dalam lembaga? Anda mempunyai orang di sana dan semua ini dilakukan mengatasi pihak lembaga, mengikut peraturan?”

“Undang-undang mengatakan anda mesti dimaklumkan (mengenai urusan forex). Lembaga hendaklah memberitahu Kementerian Kewangan mengenai perubahan dasar. (Jadi) Jaffar sepatutnya memberitahu anda,” kata Suhaimi.

Daim menjawab: “Bank Negara sangat bebas.”

Suhaimi: Mereka tidak pernah memberitahu anda apa yang mereka lakukan?

Daim: Sebulan sekali mereka menghantar satu surat, itu sahaja.

Suhami: Bukankah ada mekanisme kawalan? Kewajipan untuk memaklumkan anda?

Daim: Tidak, tidak, tidak. Apa yang berlaku ialah pelantikan Jaffar perlu melalui Kabinet sebelum diluluskan oleh Agong. Saya tidak melantiknya.

Suhaimi: Ya, mereka mempunyai kebebasan, tetapi mereka menjaga rizab negara.

Daim: Jika pada masa itu, jika saya tahu apa yang sedang berlaku, saya akan menghentikannya.

10.36am: Muhyiddin Yassin tiba di mahkamah, diikuti beberapa minit kemudian Dr Mahathir Mohamad dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Mereka terus menuju ke tempat prosiding diadakan.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin turut dilihat hadir pada sesi pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian dialami Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 September, 2017.
Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin turut dilihat hadir pada sesi pendengaran Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kerugian dialami Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 September, 2017.

10.19am: Prosiding diteruskan dengan Daim Zainuddin sebagai saksi ke-23. Berusia 79 tahun, beliau menjadi menteri kewangan dari tahun 1984 hingga 1991.

Daim berkata BNM mula aktif dalam urus niaga forex sejak tahun 1988 dan seterusnya.

Beliau menambah, gabenor bank ketika itu, Jaffar Hussein, tidak pernah membincangkan dengan terperinci mengenai urusan forex oleh bahagian perdagangan BNM.

Daim juga berkata beliau tidak pernah bercakap dengan perdana menteri mengenai urusan forex BNM.

10.03am: Keterangan saksi Othman Yusuf, bekas setiausaha Jabatan Kewangan di Kementerian Kewangan berakhir. Saksi berikutnya, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bersedia untuk memeberi keterangan.

RCI berhenti kerana masalah sistem bunyi.

9:49am: Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin tiba di mahkamah.

9.43am: Saksi Othman Yusuf memberitahu RCI mengenai pertemuan antara BNM dan MOF pada akhir November 1994.

“Penjualan saham milik kerajaan perlu dilakukan secara ‘senyap-senyap’ melalui Rashid Hussein Sdn Bhd,” katanya.

Pegawai RCI bertanya bermaksud “senyap-senyap”.

Ahli panel Tajuddin bertanya sama ada “pihak berkuasa atasan” dimaklumkan mengenai keputusan sedemikian. Beliau juga bertanya sama ada apa yang BNM lakukan adalah meminta MOF memberikan bantuan sumber (untuk mengekalkan rizab bank itu).

Othman mengangguk.

9.38am: Othman berkata beliau telah mencadangkan agar BNM merangka surat perjanjian kepada MOF mengenai kekurangan RM8 bilion. Ditanya oleh pegawai yang mengendalikan RCI apakah maksud surat itu, Othman menjawab:

“BNM adalah agensi kerajaan. Apabila agensi berdepan masalah, kerajaan harus bersedia membantu. Persoalannya, apa yang kerajaan bersedia lakukan untuk membantu BNM.”

Beliau menambah yang tujuan pertemuan antara BNM dan MOF adalah “membantu” bank pusat.

“Tujuan mesyuarat ini adalah untuk kerajaan ‘membantu’ BNM berhubung kerugian yang dihadapi oleh BNM dengan cara memindahkan saham-saham milik kerajaan dalam syarikat tertentu kepada BNM.”

Pertemuan ini, kata Othman, diadakan pada akhir November 1994 dan dihadiri timbalan gabenor bank, ketua setiausaha perbendaharaan Clifford Herbert dan bekas pembantunya Abdul Murad Khalid.

Othman berkata beliau tidak mengingati siapa yang menjadi timbalan gabenor bank pada masa itu.

9.26am: Ahli panel, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysi Tajuddin Atan, bertanya saksi sama ada perbincangan mengenai kerugian forex dibincangkan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi kali pertama pada Disember 1993.

Othman berkata “Ya”.

Beliau menambah BNM mengalami kekurangan RM8 bilion pada masa itu dan beliau (Othman) melaporkannya dalam satu mesyuarat yang bank pusat mungkin muflis kecuali rizabnya disokong.

9am: Pendengaran bermula dengan Othman Yusuf, saksi ke-22 memberi keterangan. Beliau adalah bekas timbalan setiausaha dan setiausaha Jabatan Kewangan di Kementerian Kewangan ketika itu. Beliau berkata telah bekerjasama dengan bekas Timbalan Ketua Setiausaha (II) Clifford Herbert pada akhir 1993 untuk memindahkan saham bagi mengekalkan rizab BNM.

– https://www.themalaysianinsight.com

.