NOH: SELANGOR JANGAN BERTALAK TIGA DENGAN BN

BN tidak mampu untuk tewas di Selangor untuk tiga pilihan raya umum (PRU), kata Pengerusi BN Negeri Tan Sri Noh Omar.

Membandingkan keadaan itu dengan penceraian talak tiga, Noh yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata ini bermakna mereka wajib menang pada PRU akan datang.

“Jangan sampai bercerai talak tiga. Tak perlu cuba banyak kali untuk rampas Selangor,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, walaupun beberapa bekas menteri besar negeri itu menyatakan komitmen untuk membantu BN pada PRU akan datang, tetapi ia belum memadai.

Beliau merujuk Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo yang dilaporkan bakal membantu BN menewaskan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ke-14.

“Ahli perlu keluar kepompong dengan mendekati masyarakat…Itu sebabnya penting peranan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai perantara antara kerajaan dengan rakyat yang perlu digerakkan ke seluruh parlimen,” katanya seperti dipetik.

Selangor terlepas daripada Umno pada PRU 2008, apabila gabungan PKR, DAP dan PAS yang membentuk Pakatan Rakyat memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRU 2013 pula, keputusan BN lebih teruk apabila hanya berjaya menang di 12 kerusi DUN negeri itu.

Noh yang juga menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan justeru meningatkan ahli parti itu agar berpijak di bumi nyata.

“Jika tak dapat semua kerusi (tetapi) dapat dua atau tiga pun dah memadai. Setiap pemimpin perlu tumpu kawasan masing-masing,” katanya, yang menyifatkan BN sebagai ‘tauke’ asal di Selangor.

– M’kini

.