Noh Omar: Persempadanan: UMNO Selangor juga tidak puas hati

PUTRAJAYA – Tindakan pembangkang yang mempolitikkan rancangan persempadanan semula kawasan pi­­lihan raya dilihat cuba membangkitkan sentimen kebencian terhadap kerajaan demi agenda tersendiri.
NOH OMAR
Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, bukan hanya pembangkang, pihaknya juga tidak berpuas hati dengan rancangan persempadanan semula membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Selangor.

“Misalnya di Parlimen Ampang yang majoriti penduduk terdiri daripada orang Melayu dan proses itu boleh menyebabkan pengundi kaum tersebut berkurangan.

“UMNO Selangor pun tidak puas hati namun kita ada saluran tertentu untuk menyuarakan bantahan dan bukannya mengheret rakyat demi kepentingan politik tersendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Pelantikan Presiden Tuntutan Pembeli Rumah dan Tribunal Pengurusan Strata di sini hari ini.

Beliau meng­u­las kenyataan Ahli Parlimen Ge­lang Patah, Lim Kit Siang selaku Penasihat DAP yang mencadangkan agar pilihan raya mengejut dapat dilakukan di Selangor susulan rancangan persempadanan semula kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kit Siang mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya itu dilakukan untuk memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya.

Noh yang juga Menteri Kesejah­te­raan Bandar, Pe­rumahan dan Kerajaan Tempatan memberitahu, sikap pembangkang yang gemar mengadakan pilihan raya mengejut hanya merugikan rakyat kerana SPR perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.

“Ketika isu pelantikan Menteri Besar Selangor sebelum ini, pembangkang sanggup me­ngosongkan kerusi DUN Kajang semata-mata untuk memberi laluan kepada individu tertentu yang konon akan dipilih menge­tuai kerajaan negeri.

“Namun apa jadi selepas itu, orang berkenaan tidak dilantik menjadi Menteri Besar. Akhir­nya siapa yang rugi, rakyat juga,” katanya.
– UTUSAN

.