Noh masih tak jelas identiti M01

Dapatan tinjauan terbaru berkaitan sokongan pada BN ketika isu 1MDB melanda membuktikan perkara itu diputar belit pembangkang, kata Tan Sri Noh Omar.

Pengerusi BN Selangor itu berkata penjelasan “terang jelas” telah dibuat, termasuk oleh pemimpin kanan syarikat pelaburan negara itu.

“Ini masalahnya, siasatan 1MDB belum berjalan tetapi kesimpulan dah dibuat.

“Kerana perangai pembangkang macam tu. Suka buat kesimpulan lebih awal,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Beliau mengulas kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati pengundi Melayu di Selangor masih menyokong BN bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak walaupun tahu berkaitan kontroversi 1MDB.

‘Pergi tanya DOJ’

Noh bagaimanapun terdiam seketika diajukan soalan berkaitan dapatan lain bahawa 40 peratus penyokong BN berpendapat kerajaan patut mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysian Official 1 (MO1).

Selepas itu, pemberita kemudian mengulangi soalan sama kepada anggota parlimen Tanjung Karang tersebut sehingga setiausaha akhbarnya meminta supaya Noh tidak menjawab soalan berkenaan.

Noh kemudian hanya berkata:

“Saya pun tak tahu siapa Malaysian Official 1. Itu awak pergi tanya DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat),” katanya.

Awal bulan ini, Abdul Rahman Dahlan mengaku kepada BBC bahawa MO1, yang disebut 36 kali dalam saman sivil DOJ, merujuk kepada Najib.

Rahman bagaimanapun berkata Najib tidak menjadi sebahagian daripada siasatan badan itu.

Ditanya sama ada BN yakin menang pada pilihan raya umum akan datang berikutan hasil tinjauan IDE itu, Noh hanya berkata kemenangan merupakan matlamat mereka walaupun tanpa tinjauan tersebut.

“Kalau tak ada tinjauan pun, matlamat kita nak menang. Siapa yang tak nak menang,” kata Noh tersenyum.

Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan, tinjauan IDE di seluruh Selangor mendapati pengundi Melayu di negeri itu masih setia bersama BN.

Menurut Timbalan Pengerusi IDE Mohammad Redzuan Othman, pengundi di kawasan majoriti Melayu berpendapat isu 1MDB tidak memberi kesan kepada Malaysia kerana mereka masih memperoleh gaji, mampu membeli makanan dan hidup selesa.

– M’kini

.