NOH: ISU AIR SELESAI WAKTU KHALID, TIMBUL SEMULA DI ZAMAN AZMIN

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dilihat berjaya menyelesaikan masalah air di negeri itu ketika pentadbirannya, dakwa Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar.

Bagaimanapun, Noh berkata isu itu timbul semula ketika Datuk Seri Azmin Ali mengambil alih tampuk pemerintahan Khalid.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Khalid dan ketiga-tiga bekas menteri besar Selangor iaitu Tan Sri Khir Toyo, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib tempoh hari.

“Keempat-empat mereka ini lahirkan rasa kecewa dengan sikap MB yang ada hari ini kerana dilihat mentadbir negeri Selangor lain dari apa yang sepatutnya.

“Ada perkara, dasar yang dia (keempat-empat menteri besar) masing-masing buat, bila dasar-dasar itu tidak diteruskan, dia (Azmin) buat dasar baru yang boleh merugikan rakyat.

“Tan Sri Khalid antaranya masalah air (ketika pemerintahannya) dah selesai. Bahagian itu sepatutnya sudah selesai. Bila tukar MB lain pula dasarnya,” katanya.

Noh berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, hari ini.

Isu air bermula pada 2010 ketika pentabdiran Khalid yang mahu menaikkan tarif air sebanyak 15 peratus untuk pengguna air di Selangor menerusi proses penstrukturan industri air di Selangor.

Sehingga kini, isu tersebut masih belum dapat diselesaikan apabila kerajaan Selangor menangguhkan buat kali-3 sehingga 4 Julai 2018 atas permintaan kerajaan persekutuan.

Empat syarikat konsesi air di Selangor itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS dan SPLASH.

Sebelum ini wakil rakyat BN mendesak kerajaan Selangor mengemukakan jumlah keseluruhan yang ditawarkan bagi pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

ADUN Permatang Datuk Sulaiman Razak berkata Azmin perlu mengumumkan nilai ditawarkan bagi membolehkan masalah itu diselesaikan segera.

Terbuka terima Khalid

Sementara itu Noh berkata Umno terbuka untuk menerima siapa sahaja termasuk Khalid untuk menyertai Umno.

“Kita Umno bukan pintu tertutup, siapa nak masuk, masuklah. Masuk Umno bukan offer-offer, kalau dia minat dia masuklah.

“Tapi yang penting dia memahami perjuangan kita (Umno), dia tahu Azmin dah tak berapa betul. Dia bersama kita untuk tubuh Selangor ini,” katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Khalid sedia membantu BN dalam memenangi semula Selangor serta adakah pihaknya mempelawa ADUN Pelabuhan Klang itu menyertai Umno.

Bagaimanapun Noh berkata Khalid memaklumkan kepadanya untuk tidak menyertai mana-mana parti politik.

“Tak, dia tak akan masuk mana-mana parti dan dia tak masuk Umno. Khalid semasa bincang dengan saya, dia tak akan masuk Umno,” katanya.

– M’kini

.