NOH CADANG PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO DILANTIK AHLI MT

KUALA LUMPUR: Tan Sri Noh Omar mencadangkan supaya semua Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dilantik secara automatik untuk menganggotai ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata, cadangan itu akan membuka lebih banyak peluang kepada ahli parti untuk menjadi sebahagian daripada MT.

“Bila pengerusi badan perhubungan Umno negeri dilantik secara automatik sebagai MT, maka mereka tidak perlu lagi bertanding untuk mendapatkan jawatan tersebut.

“Ini juga dapat mengelak konflik berkepentingan di kalangan pengerusi badan perhubungan Umno negeri sekiranya terdapat ahli mereka yang mahu bertanding di peringkat MT,” katanya dalam wawancara baru-baru ini.

Pada masa ini, Presiden Umno mempunyai kuasa untuk melantik anggota MT atau ahli parti boleh bertanding untuk jawatan berkenaan.

Noh berkata, perlantikan secara automatik itu sekaligus membolehkan pengerusi badan perhubungan Umno negeri lebih mudah bersuara dan mengundi.

Tambahnya, cadangan tersebut memerlukan pindaan dalam Perlembagaan Umno dan berharap ia mendapat pertimbangan daripada pimpinan parti.

“Cadangan ini bukan untuk kepentingan saya tetapi demi kebaikan Umno pada masa depan,” katanya.

Ahad lalu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan parti supaya meminda Perlembagaan bagi membolehkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden dimaktub dalam klausa tertentu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, rasional pindaan itu adalah untuk membolehkan penyelarasan tugas-tugas timbalan presiden dilakukan dengan lebih berkesan oleh pemangkunya.

Noh yang menyambut baik cadangan Ahmad Zahid berkata, pindaan Perlembagaan itu adalah kebaikan parti pada masa akan datang.

“Dalam undang-undang ini, tak ada yang kekal, kita ubah mengikut keadaan berdasarkan kesesuaian,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata, beliau mengadakan mesyuarat khas badan perhubungan Umno negeri bagi membincangkan mengenai isu-isu yang akan dibangkitkan perwakilannya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016.

“Walaupun saya ada idea apa yang nak cakap, tetapi saya punya cara adalah mendengar pandangan teman-teman. Walaupun kita sudah ada jurucakap, tetapi dia bukan mewakili diri dia, sebaliknya mewakili suara badan perhubungan Umno Selangor,” katanya.

PAU2016 dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 29 November sehingga 3 Disember ini.

MSTAR

.