NOH ANGGAP AZMIN ‘MAMAI’

SHAH ALAM  – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin disifatkan sebagai ‘mamai’ berikutan tindakannya menghantar mesej menerusi akaun Twitter miliknya yang mendakwa kononnya ada menteri kanan akan meletak jawatan minggu lalu sedangkan yang bertindak sedemikian adalah empat pemimpin DAP di Melaka, iaitu sekutu PKR sendiri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mungkin menggelabah apabila sudah mengetahui empat wakil rakyat DAP terbabit mahu meletakkan jawatan menyebabkannya menghala mesej itu kepada Barisan Nasional (BN).

“Dia (Mohamed Azmin) bukan jumpa menteri kanan tapi jumpa ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) DAP dari Melaka.
“Kita tahu kemenangan pakatan pembangkang bergantung kepada DAP dan berita itu mengejutkannya. Oleh sebab itu, Mohamed Azmin mamai dan tersalah tweet (hantar mesej),” katanya sinis dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Mohamed Azmin dalam akaun Twitter miliknya mendakwa ko­non seorang menteri kanan akan meletakkan jawatan tetapi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menganggapnya berbohong, Menteri Besar itu mula berdolak-dalik.

Dalam perkembangan sama, Noh memberitahu, beliau percaya tindakan Mohamed Azmin itu juga sebenarnya hanya untuk menarik perhatian umum.

“Kita tahu beliau kini kurang mendapat liputan kerana semua lebih memfokuskan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad,” ujarnya.

– UTUSAN ONLINE

.