Noh Akan Patuh Keputusan Kabinet Isu Pemaju Beri Pinjaman

KUALA SELANGOR 13 SEPTEMBER 2016. Menteri Kesejahteraan Bandar,Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar. NSTP/INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

TANJONG KARANG – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan tempatan, Tan Sri Noh Omar, akan memberi penjelasan kepada Kabinet, esok membabitkan cadangan pemaju dibenar memberi pinjaman.

Noh berkata, perkara itu mendapat pelbagai reaksi selepas pengumumannya minggu lalu dan beliau menyerahkan kepada Kabinet untuk membuat keputusan mengenainya.

Katanya, cadangan berkenaan dibuatnya pada satu program persidangan perumahan, baru-baru ini sebagai maklum balas kepada rungutan pemaju mengenai peratusan rumah siap terbina yang masih tidak terjual semakin meningkat.

“Saya membuka cadangan supaya pemaju perumahan ini digalak memohon lesen peminjam wang. Ia bukan perkara baharu dan memang ada peruntukan mengikut Akta Pemberi Pinjaman 1951, selain sudah ada beberapa pemaju diberikan lesen itu.

“Cadangan ini saya nak umumkan secara rasmi kerana mungkin ada pemaju yang tidak tahu selama ini.

“Bagaimanapun, jika saya berikan penjelasan kepada Kabinet esok dan mereka menyatakan ia tidak boleh dilakukan serta boleh memberi impak kepada ekonomi negara, saya akan akur,” katanya pada sidang media Program Korban Perdana Parlimen Tanjong Karang, di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, berkata ketika ini, sudah ada beberapa syarikat pemaju yang mempunyai lesen sedemikian dan memberi pinjaman perumahan kepada pembeli hartanah.

Katanya, jika Kabinet membuat keputusan cadangan itu tidak seharusnya diteruskan, lesen yang diberikan kepada pemaju terbabit akan ditarik balik.

Namun, Noh enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai pemaju terbabit atau bilangannya.

Semalam, BH melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan supaya pemaju perumahan diberi lesen pemberi pinjaman untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman tidak pernah dibincangkan di Kabinet.

Beliau dilaporkan berkata, akan meminta Noh mengemukakan cadangan itu supaya memberi penjelasan kepada Kabinet mengenainya. – http://www.bharian.com.my/

.