NK NEWS DEDAH FACEBOOK MILIK JONG-NAM

PETALING JAYA – Sebuah laman Facebook dipercayai milik abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam berjaya dikesan dan ini mungkin membawa petunjuk kepada kematiannya, lapor sebuah agensi berita bebas.

Menurut polis Malaysia, Jong-nam yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin, berkunjung ke Malaysia menggunakan pasport dengan memakai nama Kim Chol.

NK News yang fokus kepada laporan berita di Korea Utara mendedahkan sebuah akaun Facebook milik ‘Kim Chol’ yang mengandungi gambar lama Jong-nam semasa berada di Macau, China.

Ia memetik sumber tidak dinamakan yang mengetahui aktiviti dalam talian Jong-nam sebagai mengesahkan bahawa profil tersebut memang milik mangsa.
Akaun tersebut tidak boleh didapati menerusi carian di Facebook tetapi NK News berkongsi sebuah paparan skrin laman Facebook berkenaan yang mengandungi beberapa gambar Jong-nam semasa di Macau.

NK News melaporkan aktiviti Jong-nam di Facebooknya seolah-olah menunjukkan bahawa dia tidak cuba menyembunyikan dirinya daripada masyarakat.

Malah dia juga tidak menjauhkan dirinya daripada media sosial walaupun sedang diancam bunuh.

Laporan itu turut memetik bekas setiausaha risikan kepada Presiden Korea Selatan Lee Myung-bak, Cha Du-hyeogn sebagai berkata Jong-nam diketahui menggunakan alamat e-mel komersial untuk berkomunikasi.

“Aktiviti terbuka seperti itu tidak kelihatan ia datang daripada seorang individu yang sering menerima ancaman bunuh.

“Saya fikir mungkin Kim (Jong-nam) cuai yang membawa kepada kes kematian diluar jangkaannya,” kata Du-hyeogn.

– Mstar

.