NILAI PERTEMUAN DR MAHATHIR – ANWAR, NAJIB – HADI SAMA

RESPON PENJENGOK

Seorang penjengok blog ini yang menamakan dirinya sebagai Dr Sofiyan telah membuat ulasan ke atas satu posting saya sambil bertanya saya dengan soalan berikut?

“Assalam..penyakit pakatan rakyat sudah mula hinggap pakatan harapan..rakyat bawahan menilai dari jauh..inilah kelemahan pembangkang malaysia..tiada kata sepakat..di bawah BN nampaknya solid sebelum menuju PRU 14..cuma saya ingin bertanya pak sayuti..jika Tun M bertemu anwar merupakan rahmat kepada PH,bagaimana pula pertemuan Hadi-Najib..bukankah ini seni berpolitik?

Soalan ini bagi saya sangat menarik dan ia ada dalam hati banyak penjengok lain tetapi mungkin malu-malu atau tidak tergamak untuk bertanyakan pandangan saya kerana mengira saya hanya menyenangkan Pakatan Harapan tetapi tidak BN. Tetapi bagi mereka yang mengenali saya, tahu membaca pegangan dan penghayatan politik saya tidak seharus gerum untuk menanyakan demikian atau pun persoalan lebih sofisikated dari itu.


Yang saya ingin jawab dan jelas dalam frasa komen itu itu ialah; “jika Tun M bertemu Anwar merupakan rahmat kepada PH, bagaimana pula pertemuan Hadi-Najib.. bukankah ini seni politik?”

Saya bersetuju dengan tanggapan itu, ianya seni politik. Dan seni ini seharus dihayati oleh semua orang serta bijak pula menikmati keindahannya. Iya kenapa perlu hanya melihat impak politik negara apabila Dr Mahathir sedia untuk berjabat tangan dengan Anwar sahaja, tetapi tidak kalau Abdul Hadi dengan Najib Razak? Apakah persahabatan Hadi – Najib itu najis? Dari kamus politik kedua-dua salaman dan pelukan itu sama sahaja nilainya. Tunggu lagi ia ditafsir dan diberikan terjemahan oleh orang ramai mengenai peristiwa itu.

Saya sudah memberi jawaban kepada pertanyaan Dr Sofiyan itu. Jawabannya begini:… “

Menjawab Dr Sofiyan nilai politik antara pertemun Mahathir – Anwar dengan Najib – Hadi sama nilainya. Yang bezanya Mahathir dan Anwar telus dan maksudnya disetujui puaknya, sebalik pertemuan Hadi dengan Najib kabur, dan tidak disenangi oleh puaknya. Bagi saya secara peribadi tidak ada apa-apa masalah kerana saya menerima orang politik semua hipokrit. Walahualam.”

Dari dua pertemuan itu, itulah bezanya. Dari sisi lain tidak ada apa-apa beza dan kelainannya. Maksud pertemuan itu adalah bermotif politik yang menjadikan alasan untuk menyelamatkan negara dan menjaga kepentingan rakyat. Walhal kita semua sudah tahu isi perut dan lengkaran usus masing-masing. Kesediaan orang politik bermusuh kemudian berbaik kerana untuk mencapai satu matlamat biasa, di sini hebat dan hipokrasinya mereka yang tidak mudah untuk diterima oleh peribadi kita berprinsip dan bergerak atas jalur hukum agama dan adat.

Apa yang pernah berlaku antara Dr Mahathir dan Anwar sebelum ini. Bukankah UMNO berpecah dua disebabkan mereka gara-gara berebut kuasa dan gila kedudukan, sehingga tertubuhnya PKR. Mereka ketika itu berperangan dengan menjual modal untuk bangsa dan negara walhal mereka telah meletakan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan nusa bangsa.

Demikian dengan Hadi dan Najib. Apa yang berlaku sebelum ini. Siapa penyumpah UMNO, menuduh UMNO kafir, toghrut dan sebagainya bukankah Hadi dan orang partinya? Kesediaan mereka melupai peristiwa lampau itu, itulah kehebatan dan keanjalan mereka sebagai ahli politik. Apa-apa yang berlaku dalam politik tidak pernah siapa menjangka walhal ia sebagai kelakuan alami.

Mungkin si bertanya itu ingin mengetahui di manakah saya di antara kedua moment itu? Sudah berkali saya nyatakan kalau untuk kepentingan bangsa dan agama saya akan menyokong tanpa mengira puak dan warna kulit. Namun atas kerjasama keempat individu itu ia masih mengelirukan saya. Saya tidak yakin mereka berbuat atas nawaitu yang suci dan bersih demi agama, bangsa dan negara. Selagi darah politik mengalir dalam tubuh mereka maka pertemuan itu tetap sama yang bernuasapolitik.

Cuma untuk hari ini, kita perlu melihat pakatan siapakah yang lebih suci dan bersih. Lebih munasabah. Dr Mahathir sedia melupai Anwar kerana ingin jatuhkan Najib dan tumbangkan kerajaan UBN. Kenapa? Sebabnya telah diketahui. Beberapa isu dan skandal menimpa Najib dijadikan alasan. Tuduhan besar ke atas Najib seperti skandal 1MDB belum terjawab dengan tuntas, pendekatan pentadbiran Najib menyebabkan nilai ringgit turut, terbaru terbongkarnya penukaran milik tanah komersial Felda, begitu juga langkah memberi kontrak kepada China dilihat tidak baik dan boleh mendatangkan bahana kepada negara.

Justeru hubungan dan pembaikan Najib dengan Hadi lebih untuk menyelamatkan dirinya dan nyawa politiknya.

Manakala Hadi pula tidak menyatakan secara pasti untuk bersama UMNO. Beliau semacam malu-malu kucing untuk bersama Umno ini menyebabkan timbul keraguan dibenak umum. Kerana sikap itu menyebabkan timbul prejudis Hadi telah terperangkap dengan jerat bingkas Najib. Sebaliknya kalau Hadi ikhlas dan benar dia perlu berterus terang mewujudkan hubungan dengan Umno dan kalau itu dilakukan hubungan atau kerjasama mereka itu akan disokong rakyat.

Seperti dinyatakan tadi tujuan dan matlamat Dr Mahathir – Anwar lebih jelas dan terang daripada Najib dan Hadi. Akal kita juga boleh mengira pakatan mana lebih rasional dan tidak hanya digunakan untuk menggula-gulakan rakyat. Saya harap jawaban dan penghuraian ini memenuhi kehendak Dr Sofiyah. Dan saya akan respon kepada mana-mana komen terpilih seperti yang dilakukan sebelum ini. Walahu’alam.

– http://msomelayu.blogspot.my

.