NIK NAZMI MENANG SAMAN TERHADAP ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan saman difailkan Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan Malaysia berhubung pendakwaan berniat jahat susulan penahanannya sebanyak dua kali di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu dengan alasan pihak defendan iaitu Abdul Gani dan kerajaan Malaysia gagal menyangkal dakwaan Nik Nazmi, 35, yang merupakan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat selaku plaintif bahawa pendakwaannya kali kedua mempunyai unsur niat jahat.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan membayar  ganti rugi khas untuk menampung kos guaman sepanjang tempoh pendakwaan sebanyak RM80,000, ganti rugi am sebanyak RM100,000 dan ganti rugi teladan sebanyak RM50,000 serta kos sebanyak RM10,000 kepada plaintif (Nik Nazmi).

Beliau berkata, pihak defendan hanya memanggil dua saksi iaitu timbalan pendakwa raya dan pegawai penyiasat bagi kes berkenaan ketika perbicaraan, manakala defendan pertama (Abdul Gani) tidak hadir untuk memberi keterangan.

“Apa yang dikatakan oleh timbalan pendakwa raya ketika perbicaraan tidak lebih dari keterangan dengar cakap.

“Saya tidak dapat faham kenapa defendan pertama arahkan plaintif dituduh di bawah seksyen sama pada kali kedua… apa yang mengejutkan arahan itu datang daripada orang yang penting,” katanya.

Ahmad Zaidi berkata, tindakan defendan pertama yang mengarahkan pendakwaan kali kedua diteruskan walaupun selepas Mahkamah Rayuan memutuskan ia tidak berperlembagaan dan ketika rayuan di Mahkamah Persekutuan masih dalam proses, adalah tidak menghormati keputusan mahkamah.

Pada 31 Mac, 2015 Nik Nazmi memfailkan saman terhadap  Abdul Gani, yang ketika itu peguam negara, atas dakwaan telah melakukan pendakwaan yang berniat jahat kerana bertindak mendakwanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya buat kali kedua pada 6 Mei, 2014 mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014 membenarkan permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapinya mengikut akta sama.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nik Nazmi menegaskan beliau sebelum itu didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama pada 17 Mei 2013 atas dakwaan menganjurkan perhimpunan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 8 Mei 2013.

Beliau mendakwa pada 6 Mei 2014, Mahkamah Sesyen telah membebaskan dan melepaskannya selepas memutuskan ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah tidak berperlembagaan.

Nik Nazmi mendakwa tindakan Abdul Gani untuk mendakwanya sebanyak dua kali atas pertuduhan sama telah mencemarkan maruahnya dan menggambarkannya sebagai seorang penjenayah.

– Bernama

.