NIK AZIZ TOKOH PEMIMPIN SEJATI

KUALA LUMPUR – Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai seorang tokoh pemimpin yang sejati.

Menurutnya, selama dia berada di bawah pimpinan beliau, banyak pengalaman yang dikecapinya.

“Tuan Guru (Nik Aziz) kalau memuji orang, dia akan lakukan di depan orang ramai, tetapi apabila ingin menegur, beliau akan lakukannya secara tertutup.

“Hanya beliau dan orang yang ditegur sahaja tahu apa yang terjadi, bukan seperti sekarang dimana kesalahan di war-warkan dan kebaikan disembunyikan.
“Begitu juga jika ada sebarang aduan, beliau tidak mudah membuat keputusan dan akan berfikir semasaknya, ambil kira cerita kedua-dua belah pihak, barulah akan diberikan pandangan,” katanya ketika Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Himpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, beliau mendakwa Allahyarham Nik Aziz seorang yang ‘futuristic’ dan seorang yang tegas dengan keputusanya.

“Beliau seorang yang berpandangan ke hadapan, sikap tersebut tidak selalu ada dalam seorang pemimpin.

“Dan semestinya, hingga akhir hayat beliau tidak menerima Umno, tak tahulah jika parti itu berubah setelah dia meninggal dunia,” katanya lagi.

– SH