NIK ABDUH SINDIR AMANAH MALANG

Kritikan segelintir pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) berkenaan jumlah kerusi Parlimen yang ingin PAS tandingi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 akhirnya berbalik kepada mereka sendiri, apabila parti itu mendapat kerusi paling sedikit dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Barangkali itulah mesej anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kepada parti serpihan PAS itu.

Walaupun tidak merujuk sebarang nama, kenyataan ringkas yang dimuatnaiknya menerusi Facebook hari ini agak jelas merujuk kepada AMANAH, susulan Konvensyen HARAPAN semalam.

“Mereka marah, sedih dan bungkam kerana diisytiharkan dengan jumlah kerusi paling sedikit, sesudah mereka ketawa memperlekeh PAS mengisytiharkan diri bertanding di mana saja kerusi yang dimahunya.

“Sedih sang malang, ketawa sang maling,” kata anggota parlimen Pasir Mas itu.

‘Maling’ adalah perkataan bahasa Indonesia yang bermaksud pencuri. Namun tidak jelas pihak yang dirujuknya dengan kenyataan itu.

PAS sebelum ini menyatakan bersedia bertanding di kira-kira 100 kerusi parlimen, dengan sasaran menang sekurang-kurangnya 40 kerusi.

Enggan bersama HARAPAN, sasaran itu dikritik kerana ia tidak mencukupi untuk menjatuhkan BN di peringkat persekutuan.

Konvensyen HARAPAN semalam mengumumkan pembahagian kerusi yang bakal ditandingi empat parti komponennya di Semenanjung.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendapat jumlah kerusi terbesar iaitu 52, diikuti PKR (51), DAP (35) dan AMANAH (27).

Muncul juga suara tidak puas hati dengan jumlah kerusi untuk AMANAH, dengan AMANAH Johor bertindak memboikot konvensyen.

“Kami minta lima kerusi parlimen, tetapi dapat dua (kerusi) sahaja – Parit Sulong dan Pulai,” kata Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan.

Pengerusi AMANAH Perak Asmuni Awi juga mengambil tindakan sama, juga berhubung isu pembahagian kerusi.

Dr Hatta Ramli pula didakwa mahu meletakkan jawatan selaku pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, selepas parti itu tidak diperuntukkan sebarang kerusi pun di Kuala Lumpur.

Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

– M’kini

.