NIK ABDUH: HARAP ‘LEBIH MASA’ SESI AKAN DATANG

KUALA LUMPUR – Perbahasan usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU 355 yang dibawa oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang diharap akan diberikan lebih banyak masa pada sesi akan datang.

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada pihak kerajaan dan pembangkang dalam membahaskannya.

“Walaupun keputusan Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia)  untuk menangguhkan sidang agak mengejut dan mengejutkan semua. Kami di pihak Pas telah menyediakan beberapa pembahas termasuk Kuala Nerus (Mohd Khairuddin Aman Razali) dan Temerloh (Nasrudin Hassan).

 “Tetapi itu adalah keputusan Speaker menggunakan kuasanya. Wallahualam, apa sebab dia tangguhkan lebih awal.

“Harapan saya perbahasan seterusnya pada mesyuarat akan datang, masa yang diberikan nanti akan lebih panjang dan lebih luas, semoga semua pihak kerajaan atau pembangkang dapat membahaskannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan usul yang dibahaskan itu cukup menarik memandangkan undang-undang bagi memperkasakan mahkamah syariah itu mendapat perhatian rakyat di negara ini.

Mengulas mengenai bantahan daripada pihak pembangkang, Nik Abduh berkata itu terpulang kepada mereka sama ada untuk membantah atau menyokong.

“Selama mana bangkangan mereka itu dalam  dewan tidak mengikut peraturan dewan itu adalah hak mereka.

“Cuma saya rasa agak panas kerana speaker merasakan pelangaran peraturan Dewan (tidak dengar cakap).  Saya harap Ia tidak berulang  tetapi hak masing-masing dalam bidang perbahasan ini untuk tolak atau sokong,” ujarnya.

Malah tegas Nik Abduh, Pas akan tetap mempertahankan usul persendirian yang dibawa Abdul Hadi kerana ia merupakan hak umat Islam dan rakyat di negara ini terjamin selagi tidak melanggar lunas kehidupan yang baik.

Dalam persidangan tersebut, keputusan penangguhan yang dibuat kira-kira jam 4 petang itu telah mendapat bantahan daripada anggota Parlimen pembangkang kerana tidak diberi peluang membahaskan usul berkenaan.

Selepas itu, ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak bangun dan melaungkan ‘ini tidak adil’, namun Pandikar tidak mengendahkannya lalu bangun meninggalkan sidang.

Selepas itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman membacakan penangguhan sidang berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas akan sokongan daripada Umno untuk menyokong usul tersebut, beliau berkata perkara itu telah dijelaskan sebelum ini.

“Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh BN, mereka tidak akan bawa, tetapi Umno akan terus sokong.

“Saya ucapkan tahniah dan saya rasa bukan hanya Pas dan Umno bahkan semua ahli parlimen patut menyokong pindaan akta ini

“Penjelasan daripada Kota Bharu (Datuk Takiyuddin Hassan) cukup meyakinkan semua pindaan ini wajar disokong oleh semua,” katanya.

SINAR HARIAN