NGO ZAMIHAN PUJI JOHOR SEKAT PENDAKWAH PECAH BELAH

LARANGAN ke atas dua pendakwah daripada mengajar agama Islam di Johor boleh menyelamatkan negeri itu daripada sebarang “fahaman agama yang menyeleweng dan boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam”, kata sebuah badan agama yang diketuai oleh Zamihan Mat Zin.

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) turut berharap langkah Johor itu akan jadi contoh kepada majlis agama Islam di negeri-negeri lain.

Zamihan, yang bulan lalu disiasat atas dakwaan membuat kenyataan menghasut dalam satu ceramahnya di Selangor, ialah Presiden Aswaja.

“Aswaja amat berharap Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang lain turut proaktif dan berani menyekat kemasukan penceramah yang membawa fahaman agama yang mengelirukan demi mempertahankan kesucian agama Islam yang suci,” kata badan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Johor hari ini mengikut jejak langkah Singapura menyekat pendakwah Malaysia, Haslin Baharim dan Mufti Zimbabwe, Ismail Menk, yang disekat mengajar agama dan diharamkan masuk ke republik itu.

Keputusan Kementerian Dalam Negeri Singapura itu dibuat kerana mereka dikatakan membawa ajaran yang memecah belahkan masyarakat serta menggalakkan suasana tidak harmoni antara orang Islam dan bukan Islam.

Keputusan itu dibuat ketika Putrajaya berpendirian tiada apa-apa yang membimbangkan yang dilakukan oleh dua pendakwah tersebut.

Menurut Aswaja, tindakan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) selaras dengan ketegasan Sultan Johor yang sama sekali tidak membenarkan pengaruh fahaman selain Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bertapak di negeri itu.

“Ketegasan Tuanku Sultan Johor dan langkah proaktif MAIJ mampu memastikan negeri itu sentiasa harmoni daripada  sebarang fahaman agama yang menyeleweng dan boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam.”

Aswaja dipercayai merujuk kepada larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Johor terhadap 16 penceramah agama yang dilarang berdakwah di negeri itu kerana tidak mengikut kriteria Ahli-Sunnah Wal Jamaah.

Sebuah dokumen  daripada MAIJ yang tersebar ketika itu mendedahkan nama Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin dan penceramah bebas, Fathul Bari Mat Jahya, yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia, serta beberapa pendakwah lain, yang dikatakan berfahaman Wahabbi.

Johor juga adalah antara negeri yang mengeluarkan fatwa yang menolak fahaman Wahabbi kerana boleh menimbulkan kecelaruan dan menjadi ancaman kepada keutuhan pegangan agama, perpaduan ummah, perpaduan bangsa dan keamanan serta keselamatan negara.

Kenyataan Aswaja itu juga menyebut fahaman yang bertentangan dengan ASWJ seperti Wahhabi, Syiah, Bahai, Qadyani, liberalisme dan pluralisme agama kini semakin agresif untuk mendapat tempat dalam kalangan umat Islam dengan pelbagai cara.

“Maka sewajarnya tindakan tuntas perlu diambil bagi mengekang penyebaran berkenaan,” kata kenyataan itu.

Zamihan pada 10 Oktober lepas ditahan polis untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman dalam satu ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam, Selangor, yang menyentuh tentang kedai dobi layan diri yang mesra Muslim.

Dalam ceramahnya, Zamihan menyinggung orang bukan Islam yang disifatkannya sebagai “tidak bersih”. Zamihan juga menyentuh teguran Sultan Johor terhadap pemilik kedai dobi mesra Muslim di Muar, yang dia sifatkan sebagai “tidak patut”.

Zamihan kemudian memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Johor dan bersedia mengadap, sekiranya diperkenankan oleh Tuanku, untuk menjelaskan letak duduk keadaan yang sebenar.

Sultan Johor beberapa hari kemudian dalam satu ucapan bertitah pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu “tin kosong” dan angkuh, “seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain.”

Tuanku juga melarang jabatan agama Islam negeri daripada berurusan dengan Jakim.

Titah baginda, Jakim tidak perlu memberikan pandangan agama kepada negeri Johor kerana urusan agama adalah di bawah kuasa negeri seperti yang termaktub mengikut Perlembagaan Persekutuan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.