NGO: Muhyiddin akan jadi PM untuk Melayu atau Malaysia?

Sebuah NGO pro-pembangkang ragu-ragu sama ada presiden pro-tem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah orang yang tepat untuk jawatan perdana menteri.

Berdasarkan kenyataan beliau sebelum ini, Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) menyatakan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu menggambarkan dirinya sebagai ultra Melayu.

Setiausaha Agung Mipas S Barathidasan berkata contoh yang paling jelas adalah kenyataan Muhyiddin bahawa beliau “Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian” pada tahun 2010.

“Oleh itu, jika dia menjadi perdana menteri, beliau akan jadi PM untuk Melayu atau untuk semua rakyat Malaysia?” soal Barathidasan (foto).

“Kita telah mempunyai cukup pemimpin yang memecahkan kita. Kita memerlukan pemimpin yang boleh membawa semua kaum bersama-sama,”katanya.

Pemimpin NGO itu juga mengingatkan bagaimana Muhyiddin sebagai menteri pelajaran mengendalikan isu kontroversi novel Interlok sekitar 2011 yang digunakan oleh pelajar tingkatan lima.

Barathidasan berkata Mipas percaya jika ada ahli politik yang layak untuk mengambil alih jawatan perdana menteri dan melakukan pembaharuan institusi di negara ini, ia tidak lain mantan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar telah membuktikan bahawa dia mampu membawa pelbagai kaum bersama-sama. Beliau juga komited untuk membuat perubahan penting kepada sistem ini,” katanya.

Barathidasan berkata demikian merujuk pengerusi pro-tem BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berkata Muhyiddin akan menerajui negara jika pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, ia bergantung kepada persetujuan parti-parti pembangkang. – M’kini

.