NGO DESAK JAWI SIASAT DAKWAAN SKANDAL SEKS MUHYIDDIN

Sebuah NGO mendesak Jabatan Agama Islam Persekutuan (JAWI) menyiasat dakwaan skandal seks membabitkan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan seorang wanita.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah berkata kes itu membabitkan akuan bersumpah (SD) bekas timbalan pendakwa raya Stanley Clement Agustin mengenai dakwaan hubungan Muhyiddin dan isterinya Nika Gee Siew Yee.

Stanley dan isterinya membubarkan perkahwinan mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, September lalu.

“Pengakuan bersumpah yang dilakukan Stanley boleh dibawa ke tengah, terutama sekali JAWI perlu membuat siasatan berkaitan isu yang dilakukan Muhyiddin dan nama dia (Muhyiddin) disebut hampir empat kali dalam pengakuan bersumpah ini.

“Pengakuan sumpah ini bukan lama. Ia pengakuan sumpah yang terbaru, yang dibuat pada Disember 2015.

“Dan dalam pengakuan itu juga menyebut dia (Nika) mempunyai hubungan seks dengan Tan Sri Muhyiddin dan bertemu setiap dua minggu serta ada unsur bayaran sebanyak RM5,000 dan naik kepada RM20,000 serta melibatkan beberapa projek kepada Nika,” kata Azwanddin kepada pemberita di luar pejabat JAWI, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu JMM hadir ke ibu pejabat JAWI bagi menyerahkan “bukti” dan membuat laporan secara rasmi berhubung tuduhan skandal seks membabitkan anggota parlimen Pagoh itu.

Bukti yang didakwa JMM mengandungi 14 muka surat, termasuk SD Stanley.

Laporan tersebut diterima oleh Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Dr Abdul Ghaffar Surip.

Selain akuan bersumpah, JMM tidak mendedahkan maklumat “bukti” lain kepada media.

Jun lalu, penulis blog, Raja Petra Kamaruddin menyiarkan SD seorang lelaki yang mendakwa isterinya menjalinkan hubungan dengan Muhyiddin ketika tokoh itu menjadi menteri besar Johor.

Azwanddin berkata, JMM berkali-kali menjemput Muhyiddin secara terbuka melalui sidang akhbar untuk menganjurkan program bersama bagi menjelaskan skandal itu.

Namun sehingga hari ini, katanya, Muhyiddin “berdiam diri” mengenai jemputan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, JMM sekali lagi mahu menganjurkan program berkenaan dan Muhyiddin hanya perlu menetapkan tarikh, tempat dan masa berbuat demikian.

“Kita semua mahu tahu mengapakah Muhyiddin enggan menyaman Stanley jika ia adalah satu pembohongan,” katanya.

Muhyiddin pada 1 September lalu berkata dakwaan kecurangannya dengan isteri orang itu membuktikan kem Datuk Seri Najib Razak hanya mampu boleh bergantung kepada “cerita seks” untuk mempertahankan perdana menteri.

Beliau ketika itu mengulas kenyataan setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad, yang berkata Muhyiddin tidak boleh dipercayai kerana curang terhadap isterinya.

Muhyiddin juga berkata Sarifuddin bankrap idea dan membuat dakwaan tidak beradap kepadanya dengan cerita seks “yang biasanya mereka yang berpemikiran seumpama itu mampu lakukan.”

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi pegawai-pagawai Muhyddin berkaitan laporan terhadap presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

MKINI

.