NETIZEN KECAM SAMSENG BAZAR RAMADAN DI KLUANG, MALUKAN ISLAM

PENGGUNA media sosial mengecam insiden ahli Parlimen DAP dikasari semasa beliau mengagihkan buah kurma percuma kepada orang ramai di bazar Ramadan di Kluang semalam.

Kebanyakannya terkejut selepas melihat video menunjukkan seorang lelaki botak dan beberapa yang lain menjerit kepada Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong serta menyekat rombongan Pakatan Harapan (PH) daripada meneruskan lawatan mereka.

“Sungguh biadap melayu Islam itu mgkn ibu bapa dia x ajar hormat org,” kata pengguna Twitter AzizeeHs melalui akaun “@azizeegolfzz”.

Ramai yang marah berpendapat kumpulan itu “mencemarkan Islam” dengan tingkah laku mereka, yang videonya tersebar luas dalam talian sejak petang semalam.
Video yang dipos melalui akaun Facebook DAP mendapat lebih 434,000 tontonan setakat tengah hari ini. Menerima lebih 7,400 ulasan dengan perkongsian sebanyak 6,430 kali.

Azrul Aswad Abu Bakar menulis di Facebook: “Memalukan…menyedihkan…Ini yang mereka gelar ‘wira’ adalah orang yang merosakkan keharmonian & perpaduan di negara kita… Mereka orang yang membawa imej buruk kepada Islam kepada orang bukan Islam…”

Pak Lah, yang menulis tweet menggunakan akaun @nazihalwan, menyamakan orang dalam kumpulan dengan kumpulan militan Islamic State (IS) yang melakukan perkara tidak mengikut syariat Islam atas nama agama.

Fadzil Atan (@fadzilatan) pula berkata di Twitter, kumpulan itu hanya “memalukan Islam sendiri”.

“Puasa tak bermakna. Harap insaf sebelum disembahyangkan,” kata seorang lagi pengguna Twitter Abdullah @Ravi.

Netizen turut mengaitkan kumpulan berkenaan dengan Umno.

“Samseng Umno, hilang adab Melayu, ruginya berpuasa,” kata Noor Aizan (@aizan_noor).

Pada satu peringkat, kumpulan itu turut bertindak secara fizikal hingga menyebabkan cermin mata Liew jatuh.

Zainulfaqar Yaacob, berkata kumpulan dalam video itu berkelakuan seperti tidak beragama dan rakyat perlu sedar Umno gagal mengawal penyokongnya.

“Rakyat majmuk perlu sedar Umno tak mampu lagi kawal penyokongnya, sanggup tampar Cina & maki Melayu di Johor,” tulis beliau di Facebook.

“Tampar lagi dibulan Ramadan? Sedih sungguh. Budaya apa yg kita amalkan sekarang?” kata pengguna Twitter @SSSmaniam.

Bulan lalu, penerbit filem David Teo ditampar pelawak Sulaiman Yassin semasa acara Transformasi Negara 2050 (TN50) di depan Perdana Menteri Najib Razak di Seri Perdana.

Sehari sebelum Ramadan, pembantu penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Zaidi Ahmad ditampar semasa demonstrasi di depan masjid oleh penunjuk perasaan apabila beliau bertanya kepada ketua kumpulan itu bagi menjelaskan tuduhan terhadap pentadbiran Pulau Pinang pimpinan DAP.

Pada halaman Facebook Liew, pengguna media sosial memuji ahli Parlimen selama dua penggal DAP itu kerana tetap tenang dan mempamerkan akhlak lebih baik berbanding kumpulan yang menyerang di bazar.

“Bagi pihak umat Islam yang mencaci YB dan team, saya pohon jutaan kemaafan. Sesungguhnya, apa yang mereka lakukan itu langsung bukan dari ajaran agama Islam walaupun 0.000001%. Sekali lagi, Minta maaf,” kata Mirzan Majid di ruangan komen di bawah posting Liew mengenai kejadian itu.

Seorang lagi pengguna Facebook, Lat Adam mengucapkan tahniah kepada Liew kerana mampu bertenang.

“Tahniah LCT..kerana sabar and being cool..orang yang dikatakan berpuasa menunjukkan ciri-ciri yang langsung tidak menggambarkan keislamannya…to me you are more Islamic than them…,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Faizal Bizz berkata apabila orang ditawarkan sesuatu yang baik, seseorang hanya perlu menerimanya.

“Kita ambik iktibar kes banjir besar pantai timur..pembakang nk hantar bantuan ke kawasan trjejas banjir,tp dihalang..tp bantuan dari ahli parlimen kawasan tu tak kunjung tiba..ini lah dikatakan BODOH nama nya,” katanya.

Terdapat juga yang meminta maaf bagi pihak kumpulan yang bertindak demikian kepada Liew dan rombongannya.

Pat Wan (@matkampong) di Twitter berkata: “Datang tak diundang… Bila perlu tak pulaknya datang… Patut kena tendang terajang PRU14 nnti…”

Ydnaws A Damas berkata pembangkang semakin terdesak untuk menarik sokongan kerana sikap fitnah mereka, dengan menggunakan agama bagi kepentingan politik mereka.

“#FikirFikirkanlah ya, #KisahBenar ini berlaku untuk memperlihatkan kepada kita betapa bencinya rakyat terhadap pembangkang hari ini,” katanya.

Ahmad Sobri Yie mendakwa DAP “berlakon” baik untuk menarik simpati supaya rakyat menyokong PH.

“Dap tu nk berlakon jah..nk tunjuk baik nk trik simpati agr org mnyokong pkr ,ppbm dn sekutunya yg lain…..tp melayu masih tk sedar…yg memijak gmbr pemimpin kita tu berbangsa apa….dr pnyokong mana….dh tk mnghormati bngsa melayu tp cuba nk trik perhatian umum…,” tulis beliau di Facebook.

– https://www.themalaysianinsight.com

.