NETIZEN BERANG MENTERI LARANG KAPCAI MASUK KL

MAJORITI netizen meluahkan rasa kurang senang, serta tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk melarang motosikal berkapasiti enjin kecil atau ‘kapcai’ memasuki Kuala Lumpur.

Semalam laporan berita tempatan melaporkan Tengku Adnan yang popular dengan panggilan Ku Nan berkata, langkah itu diambil sebagai langkah mengurangkan kadar pelepasan karbon.

Kata Ku Nan, pihaknya akan melaksanakan larangan itu sekiranya harga tambang pengangkutan awam berpatutan.

“Pada waktu siang, populasi (dalam bandar) meningkat kepada antara lima dan tujuh juta kerana pekerja berulang-alik ke tempat kerja.

“Kebanyakan bandar utama tidak membenarkan penggunaan motosikal ‘kapcai’,” kata Ku Nan lagi.

Menurut Hazwan, dia naik hairan dengan cadangan Ku Nan itu, kerana baginya berbanding kapcai, kenderaan yang berkapasiti besar lebih banyak melepaskan karbon.

“Antara kereta, lori dengan motor kapcai yang banyak lepas karbon ini adalah lori dengan keretalah, hairan aku…”, tulisnya memberi komentar berkenaan isu itu.

Sementara itu menurut Ilyas pula dia pula berpandangan cadangan itu ‘menindas’ golongan bawahan.

“Beginilah nasib rakyat marhaen, ditindas sentiasa,” komentarnya.

Dalam pada itu menurut Mohd Shahrul pula berkata ramai yang menaiki motosikal kapcai bukannya sebab tidak mampu untuk membeli kereta tetapi sebab nak elak kesesakan lalu-lintas di bandar Kuala Lumpur.

“Ramai sahaja yang naik kapcai walaupun ada Civic Turbo di rumah, kalau semua kena naik kereta bertambahlah sesak,” tulisnya.

Safrizal pula mempersoalkan kenapa motosikal kapcai sahaja dipersalahkan atas kapasiti pelepasan karbon.

“Isu di sini…tambang pengangkutan awam sekarang amat jauh berbeza mahalnya berbanding isi minyak motosikal kapcai…Sangat tidak efektif dan agak tidak masuk akal bagi abang (abg) despatch/abg runner/abg fast food delivery/abg tong gas/abg posmen dan sewaktu dengannya untuk menggunakan LRT ataupun Bas sebagai medium pengangkutan,” ujarnya.

– Sinar Harian

.