Netizen: Adakah Tun benar-benar ikhlas?

TIDAK semua respons pelayar laman sosial berkenaan salam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah positif.

Tinjauan Sinar Online mendapati ramai pelayar yang mempunyai syak wasangka dan menganggap terdapat ‘permainan’ tersembunyi di sebalik adegan itu.

“Kita hanya mengetahui satu perkara saja, iaitu DSAI sudah lama memaafkan Tun. Perkara yang masih belum sahih dalam pengetahuan kita pula ialah, adakah Tun benar-benar ikhlas dan insaf dengan kesilapan yang dilakukannya masa lalu,” kata seorang pelayar laman Facebook.

“Kita tidak tahu selindung di balik tabir. Kita tengok agenda politik seterusnya, kita boleh dengar, tapi percaya kena fikir,” kata Shahrizan di laman sosial sama.

“PKR lahir kerana perbuatan buruk Mahathir pada Anwar. Jika Anwar bekerjasama dengan Mahathir. Apa lagi perjuangan untuk PKR?,” soal Azman pula.

Namun begitu terdapat sebilangan besar yang mendoakan kerjasama antara kedua-dua tokoh yang dikagumi ramai berkenaan.

“Sebak rasa di hati ni, semoga ALLAH beri kekuatan pada kedua-dua pemimpin,” doa Zainal.

“Moga Melayu bersatu kembali,!” tulis Meor bersemangat.

Jelas sekali bahawa aksi bersalaman Tun M-Anwar membawa impak yang besar, tidak kira di luar atau di dalam media sosial.

Selain bersalaman, Mahathir juga kelihatan menepuk bahu Anwar ketika beliau menghadirkan diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan tujuan menyatakan sokongan terhadap permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016. – Sinar Harian

.