NEGARAKU ADAKAH IA MASIH MILIKKU?

SABTU 8 April saya bertukar-tukar fikiran dengan kira-kira 40 orang anak muda di Port Dickson. Kita bercakap tentang peri pentingnya generasi muda mengambil peranan besar dalam hal ehwal negara.

Sebelum majlis bermula kita menyanyikan lagu Negaraku. Sebagai mengusik pemikiran mereka, saya berkata hatta daripada lagu kebangsaan itu pun kita boleh mengambil iktibar dan memulakan proses pemikiran kritis.


Saya tanya mereka, adakah negaraku tanah tumpahnya darahku itu masih milik mereka?

Yang saya tahu, banyak harta negara telah dijual dan digadai bagi menimbus bangkai skandal 1MDB, SRC dan berbagai-bagai kecurian lagi.

Adakah rakyat hidup bersatu dan maju?

Rasa-rasanya tidak lagi. Terlalu banyak musibah, penipuan, pembohongan dan propaganda murahan telah memecahbelahkan rakyat jelata.

Dan pastinya negara kita tidak semaju dahulu lagi. Terlalu banyak masalah melanda ekonomi dan kewangan negara kerana ketidakcekapan, pemborosan dan hutang yang mencecah awan.

Kecuali segelintir golongan elit perniagaan, politik dan perkhidmatan awam, majoriti rakyat jelata ditekan dan dibebani kenaikan kos rasa hidup, pengangguran, kejatuhan nilai ringgit dan GST.

Rahmat bahagia Tuhan Kurniakan. Tuhan tidak menyisihkan kita. Tetapi adakah kita mensyukuri rahmat yang Tuhan kurniakan? Atau apakah kita sedang ditimpa balasan kerana kemungkaran kita?

Dan akhir sekali adakah raja kita selamat bertakhta apabila ada raja yang menuduh pingat kebesaran negeri dan negara sedang dijual-beli dengan harga berjuta?


Tan Sri direman dalam kes cuba sogok seorang sultan untuk dapat gelaran
Berfikir dan bertindaklah jika kita masih sayang dan pedulikan kepada negara kita.
Nota kaki
Anekdot 1: Sebelum Subuh tadi, seorang jemaah yang sudah lama tidak kelihatan di masjid memberitahu yang dia berada sebulan di luar negara. Anak tunggalnya, seorang doktor perubatan, kini bekerja di sebuah hospital di bandar Albury-Wodonga, Australia. Takkan Melayu hilang di dunia. Tetapi apakah Melayu segar di bumi sendiri?

Anekdot 2: Cucu sulung saya (warganegara Switzerland) lulus cemerlang bahasa Latin. Respons saya kepada anak saya berbunyi begini: “It struck me as amusing that the cicit of a Kedah paddy farmer is learning Latin. Too far away and far out compared to my humble sawah beginning.”

Wallahuaklam.

– http://kadirjasin.blogspot.my