NEGARA BERKRISIS JIKA DR MAHATHIR KEMBALI JADI PM, KATA KHAIRY

CADANGAN pemilihan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berkemungkinan mencetuskan krisis dan perebutan kuasa dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti pembangkang.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata keadaan itu boleh berlaku kerana difahamkan ada dalam kalangan kepimpinan veteran PKR tidak setuju dengan cadangan itu.

Beliau berkata jika keadaan itu berlaku sudah pasti akan meruntuhkan keyakinan pelabur asing yang masuk ke negara ini dan  sekali gus menjejaskan ekonomi negara.

“Kita perlu berhati-hati kepada ‘perkahwinan sementara’ pembangkang ini, pasti akan terjadi konflik sekiranya bekas ketua pembangkang (yang merupakan penasihat PKR) Anwar Ibrahim bebas (daripada penjara) nanti.

“Kita difahamkan ada kepimpinan veteran PKR sendiri yang tidak setuju dengan cadangan itu, perkara-perkara yang mungkin nampak remeh ini akan membawa ketidaktentuan politik yang sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama sukarelawan misi kemanusiaan MyCorps Afrika di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau  berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir baru-baru ini yang berkata tuntutan jawatan perdana menteri  oleh parti itu bukan untuk mengejar “glamor”, sebaliknya berpaksikan kepada pengalaman Dr Mahathir menerajui negara.

Berhubung program MyCorps, Khairy yang juga menteri Belia dan Sukan berkata seramai 46 sukarelawan akan memulakan misi kemanusiaan MyCorps pada 4 Januari ini.

Katanya kesemua sukarelawan tersebut akan ditempatkan selama dua bulan di empat buah negara di Afrika iaitu Uganda, Tanzania, Kenya dan Sudan.

“Peserta yang terpilih telah diberikan latihan selama satu bulan bagi menyediakan mereka dalam menghadapi segala kemungkinan, dan jika segalanya mengikut perancangan mereka bakal pulang ke negara pada awal Mac,” katanya.

MyCorps yang merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah satu projek sukarelawan yang melibatkan belia-belia Malaysia yang berumur antara 18 dan 30 tahun.

Sebelum ini program sukarelawan MyCorps pernah dijayakan ke Kemboja, Syria, Bangladesh, Sri Lanka, Sudan dan Lubnan.

– Bernama

.