NAZRI TIDAK SETUJU HANYA MELAYU PERINTAH NEGARA

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz menolak cadangan kumpulan pendesak Melayu, PERKASA agar PAS dan partinya bekerjasama membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ini, kerana katanya, terdapat kaum lain yang turut sama menetap di negara ini.

Nazri berkata demikian mengulas cadangan yang dibuat Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali supaya kedua-dua parti itu bekerjasama membentuk kerajaan campuran.

“Saya tak setuju, saya rasa kita dalam BN telah dididik iaitu tidak ada satu komuniti sahaja yang memerintah kerajaan Malaysia tanpa penyertaan komuniti lain.

“Saya tak setuju satu kerajaan Melayu ditubuhkan tapi kerajaan Malaysia.

“Di mana kita bukan sahaja mewakili kerajaan Malaysia, bukan sahaja kaum Melayu tapi seluruh kerajaan Malaysia sama ada dia Melayu Cina, India, Iban, Kadazan ialah orang yang kita bela.

“Respon kita kepada Datuk Ibrahim Ali kita boleh kerja bersama-sama kalau mereka sokong kepimpinan kita, tapi secara eksklusif nak wujud kerajaan Melayu, saya cakap tidak,” kata Nazri.

Nazri berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pameran wayang Kulit Nusantara di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Semalam, Ibrahim berkata PAS perlu kekal dengan kedudukannya sekarang iaitu tidak bekerjasama dengan Umno mahu pun Pakatan Harapan (HARAPAN) sehingga PRU14 akan datang.

Sebaliknya, Ibrahim berkata, PAS perlu bekerjasama dan membentuk kerajaan campuran dengan Umno kerana parti Islam itu mampu menjadi pengimbang kepada kerajaan untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

Bekas anggota parlimen Pasir Mas itu turut berkata, dalam pembentukan kerajaan campuran itu nanti Umno boleh jadi perdana menteri manakala PAS sebagai timbalan perdana menteri.

Ibrahim dalam wawancara bersama Malaysiakini berkata kaji selidik yang dibuat mendapati walaupun 90 peratus rakyat menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, BN akan tetap memenangi PRU akan datang.

Mengulas lanjut, Nazri berkata rakyat masih menyukai Najib, namun kenyataan itu dibuat oleh pihak yang tidak menyukai perdana menteri.

“Saya tak fikir rakyat tidak sukakan Najib… mestilah itu, kerja (kajian) pembangkang kerana itulah orang (Najib) yang dia nak jatuhkan.
“Tapi pembangkang tidak ada monopoli untuk mewakili pendapat dan perasaan rakyat Malaysia.

“Selain dari jentera BN dan populariti ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN), rakyat menyukai Najib dan ia adalah faktor untuk kita menang dalam PRU akan datang,” katanya.

–  M’kini

.