NAZRI SETUJU DEBAT SINAR HARIAN

SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan persetujuan di atas kesediaan Sinar Harian menjadi penganjur dalam pertemuan antara beliau dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai beberapa isu hangat, melibatkan mereka berdua.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, beliau tidak meletakkan sebarang syarat atau terma tertentu dalam penganjuran pertemuan itu.

“Saya tidak kisah dalam bentuk dialog, debat atau apa-apa pun. Cuma sekarang Sinar Harian kena dapatkan persetujuan daripada pihak Tun Mahathir sahaja,” katanya kepada Sinar Harian,semalam

Terdahulu, Sinar Harian menyatakan kesediaan untuk menjadi penganjur dalam pertemuan antara kedua- dua pemimpin tersebut susulan perang mulut menerusi media oleh kedua-dua pemimpin itu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed berkata, pihak Sinar Harian rasa menarik sekiranya ia dijalankan dalam bentuk wacana.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Nazri berkata, ketentuan tarikh dan bila ia akan diadakan tertakluk kepada persetujuan pihak Mahathir.

“Apa yang penting saya hendak perkara ini jadi sahaja, buat di rumah Mahathir pun saya sanggup.

“Janji beliau jangan lari sahaja, kini hasrat saya hanyalah hendak berhadapan dengan beliau (Mahathir) sahaja,” katanya lagi.

Katanya, beliau tidak gentar untuk berhadapan dengan Mahathir kerana ‘beliau tahu siapa sebenar bekas bosnya itu’.

“Saya tahu semuanya, apa yang beliau nasihatkan, apa yang beliau suruh saya buat,” katanya.

Untuk rekod, Sinar Harian telah menganjurkan 44 Wacana Sinar yang membicarakan pelbagai isu yang mencakupi topik termasuk isu RUU 355, 1MDB dan GST.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan gembira apabila bekas perdana menteri bersetuju untuk berdebat dengannya di kawasan Parlimen Padang Rengas, Perak.

Pegawai kepada Mahathir memberitahu mereka sedang mengaturkan agar debat terbuka itu dibuat di kawasan di mana Nazri menjadi ahli parlimen.

Dalam pada itu, pegawai itu mengalukan-alukan Sinar Harian selaku pelopor wacana ilmiah menjadi penganjur kepada program ini.

Walaupun tarikh debat belum disahkan, difahamkan Pengerusi Bersatu itu akan turun ke Padang Rengas pada 25 Mac ini untuk hadir pada satu majlis.

– Sinar Harian

.