NAZRI SETUJU DEBAT DENGAN TUN M…TAPI ADAKAH NAJIB AKAN MENGIZINKANNYA?

Setelah dua kali dicabar oleh Tun Mahathir Mohamad untuk berdebat, Nazri Aziz akhirnya bersetuju menyahut cabaran bekas Perdana Menteri itu.
Dipetik oleh portal FMT, Nazri berkata, beliau setuju dengan cabaran itu dan sedia untuk berdebat dengan Tun Mahathir sekembalinya dari lawatan kerja ke Berlin pada 13 Mac ini.
“Okay, saya setuju. Saya akan kembali pada 13 Mac,  jadi Tun Mahathir sudah boleh membuat persediaan atau jika beliau setuju, pihak saya akan mengaturkannya,” kata Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.
Woww…ini sudah perkembangan menarik.
Dalam tulisan di blognya pada 6 Mac lalu, Tun Mahathir antara lain menyebut, “Tetapi jika Nazri hendak sangat mencabar saya, bolehlah kita ada perbahasan terbuka berkenaan 1MDB, RM2.6 billion dalam akaun tuannya, pinjaman RM55 billion untuk keretapi pantai timur atau apa juga tajuk, termasuk BMF. Ini boleh diadakan tanpa syarat.”
Semalam pula, ketika bercakap dengan media, Tun Mahathir sekali lagi mengajak Nazri untuk berdebat dengannya.
“Kalau dia mahu berbahas dengan saya depan orangramai, silakan, kata bekas Perdana Menter itu yang sekaligus menolak untuk kembali bertanding semula dalam pilihanraya.
Jika debat ini menjadi kenyataan, ia akan mengulangi debat mengenai harga minyak antara Anwar Ibrahim dengan Shabery Cheek yang diadakan beberapa tahun sebelum ini.
Debat secara umumnya adalah baik untuk mempertahankan pendirian masing-masing, malah di negara-negara maju, bahkan di Indonesia sekali pun, debat terbuka ketika pemilihan Presiden negara masing-masing adalah detik yang amat dinanti-nantikan oleh semua.
Cuma, Najib Razak saja yang selalu mengelak untuk berdebat. Beliau bukan saja tidak berani menyahut cabaran Anwar untuk berdebat, malah tidak memunculkan diri di saat-saat akhir dalam program NothingToHide sebaik mengetahui Tun Mahathir sudah menanti kedatangannya, meskipun sudah setuju hadir pada awalnya.
Oleh kerana Nazri sudah pun menyahut cabaran Tun Mahathir ini, adalah diharapkan Najib tidak keberatan atau menghalang Menteri Pelancongan dan Kebudayaan daripada mengadakan debat itu, walaupun mungkin tajuk yang akan dipilih atau dipersetuju nanti berkaitan secara langsung dengan Perdana Menteri.
Tidak kira sama ada tajuk debat mengenai 1MDB, wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib, pinjaman RM55 bilion untuk keretapi pantai timur, BMF atau apa saja, debat antara Tun Mahathir dengan Nazri tentunya amat dinanti-nantikan oleh sesiapa saja.
Sekali lagi, sangat-sangat diharapkan agar Najib sentiasa berlapang dada dan memberi lampu hijau kepada Nazri untuk debat ini. Jangan sesekali dilarang Nazri untuk membuktikan keberaniannya.

Tetapi, bolehkah diyakini Najib akan memberi keizinan kepada Nazri untuk berdebat dengan Tun Mahathir?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.