NAZRI NASIHATKAN MAHATHIR, KIT SIANG ‘BALIK JAGA CUCU’

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini menasihatkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ‘balik jaga cucu’.

Sambil menyifatkan zaman kedua-dua pemimpin itu sudah berlalu, Nazri berkata kedua-dua pemimpin itu gemar membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu.

“Inilah orang kata apa nostalgia orang-orang tua,” kata Nazri yang juga adalah menteri pelancongan dan kebudayaan.

“Zaman mereka telah berlalu, balik jaga cucu lah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pameran wayang kulit bertajuk Nusantara di Muzium Negara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Nazri ketika ditanya mengenai kredibiliti Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi perdana menteri sementara jika pembangkang memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang berkata:

“Saya tak nak komen pasal Wan Azizah, saya nak cakap pasal Lim Kit Siang,” katanya sambil membidas pemimpin veteran itu yang didakwanya menganggap DAP sebagai hak milik keluarganya.

“Saya rasa dia (Kit Siang) ini juga seorang tua yang dia merasakan seolah-olah DAP itu hak milik keluarga dia.
“Saya tak fikir itu merupakan satu keputusan yang dibuat oleh partinya sendiri sebab saya pun tengok banyak ahli Parlimen, pemimpin DAP yang tidak selesa dengan (kehadiran) Tun Dr Mahathir (dalam pembangkang).

“Jadi biasalah perangai Mahathir sama juga dengan Kit Siang, jadi apa yang dia fikir dia nak cakap, dia cakap walaupun belum lagi bincang dengan parti dan kongsi gelap dia,” kata Nazri dalam nada sinis.

Sebelum ini, Lim menyatakan kemungkinan Wan Azizah menjadi perdana menteri interim manakala Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menjadi timbalan perdana menteri sementara jika pembangkang memenangi PRU akan datang.

– M’kini

.