NAZRI NAFI PELANCONG MAKIN KURANG KERANA CUKAI PELANCONGAN

MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz menafikan dakwaan bahawa penguatkuasaan cukai pelancongan menjadi punca penurunan jumlah kemasukan pelancong ke Malaysia tahun ini.

Katanya, jumlah pelancong itu sudah mula menurun pada 2015 dan 2016, sebelum cukai berkenaan dilaksanakan.

Beliau juga menyifatkan Pemuda PKR “bodoh” dan “jahil” kerana mendakwa kerajaan menyembunyikan data terkini berhubung kemasukan pelancong.

Pemimpin muda itu tidak faham bahawa angka berkenaan perlu dibentangkan ke Kabinet sebelum dapat didedahkan kepada umum, katanya seperti dipetik dalam laporan portal Malaysiakini.

“(Data kemasukan pelancong) ini selalunya (dikeluarkan) setiap suku tahun tetapi angka itu akan berasaskan bulanan.

“Saya tahu PKR tidak tahu bagaimana kabinet berfungsi kerana mereka bodoh dan tidak semak terlebih dulu. Saya mahu mendidik PKR yang jahil ini mengenai apa yang kita lakukan,” katanya.

Oleh itu, angka untuk bulan September dan Oktober itu berkenaan hanya akan diperoleh pada Januari, jelasnya.

“Tunggu hingga akhir Disember. Angka itu akan dikeluarkan pada Januari. Bukan seperti PKR, kita tidak menyembunyikan fakta.

“Saya tidak akan lari, itu bukan gaya saya,” katanya, mengulas dakwaan Ketua Penerangan Pemuda PKR Lee Chean Chung dan Ketua Pemuda PKR Pahang Wong Chun Yuan.

Bercakap pada sidang media semalam, pemimpin Pemuda PKR itu menuntut Nazri menyatakan data untuk bulan tersebut kerana diberitahu oleh pihak kementerian bahawa data itu tidak boleh ditunjuk kepada umum.

Mereka juga mahu menteri berkenaan menjelaskan sekiranya kemerosotan jumlah ketibaan pelancong itu berpunca daripada cukai pelancongan yang dikuatkuasakan pada 1 September.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.