NAZRI: KETUA BAJU MERAH TAK PERLU DIPECAT

Datuk Ser Nazri Aziz menolak gesaan supaya tindakan diambil ke atas pemimpin Umno yang disiasat kerana terbabit dalam kumpulan Baju Merah.

Kata anggota Majlis Tertinggi Umno itu tiada peruntukan dalam perlembagaan parti menyatakan Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Datuk Armand Azha Abu Hanifah.perlu dipecat.

“Jika ia tidak membabitkan jenayah serius seperti membunuh atau merogol, saya tidak fikir ada peruntukan dalam perlembagaan (Umno) yang mengatakan kita perlu memecat mereka.

“Cuma jika diisytihar bankrap, mereka tidak boleh memegang sebarang jawatan parti,” katanya kepada Malaysiakini malam tadi.

Nazri mengulas mengenai pembabitan dua pemimpin Umno dalam kumpulan anti-BERSIH atau lebih dikenali sebagai Baju Merah.

Jamal adalah ketua Umno Sungai Besar, manakala Armand Azha exco Pemuda Umno.

Kedua-dua mereka adalah tokoh penting kepada gerakan Baju Merah yang sebelum ini gigih mengekori pergerakan konvoi BERSIH di beberapa negeri untuk mempromosi perhimpunan pada 19 November lalu.

Pembangkang pun sama

Jamal ditahan polis pada 18 November dan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (kerana merusuh). Polis kemudian mendapat kebenaran menahanan reman Jamal selama empat hari mulai Sabtu.

Armand Azha pula ditangkap selepas perhimpunan Baju Merah berlangsung.

Kata Nazri tiada sebarang duluan dilakukan Umno memecat anggotanya yang didakwa, disabitkan kesalahan atau didenda atas kesalahan kurang serius.

“Saya tidak fikir ada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan seseorang ahli yang didenda mesti dipecat daripada parti,” katanya.

Ditanya mengenai persepsi terhadap parti jika tiada tindakan diambil ke atas kumpulan Baju Merah, Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan berkata tindakan sama turut dilakukan pembangkang.

Katanya pembangkang tetap mengekalkan pimpinan mereka walaupun disabitkan kesalahan yang lebih teruk.

“PKR tidak mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, kan? Sama, malah (ia membabitkan) kesalahan lebih teruk,” katanya merujuk kepada bekas timbalan perdana menteri itu yang kini dipenjara lima tahun atas dakwaan liwat.

“Justeru terserah kepada parti (untuk membuat keputusan). Dan anda tahu Lim Guan Eng pernah dipenjara sebelum ini? Tetapi keanggotaannya dalam DAP tidak digugurkan,” katanya.

MKINI

.