NAZRI BOHONG? NAFI KELUAR ARAHAN ORANG AWAM BUAT LAPORAN POLIS

IPOH – Polis Perak menafikan ada mengeluarkan arahan kepada orang awam untuk membuat laporan polis supaya tidak membenarkan perdebatan antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berlangsung, Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kenyataan yang dikeluarkan sebuah akhbar tempatan, hari ini sama sekali tidak benar dan merupakan satu tuduhan liar.

Menurutnya, polis tidak akan sesekali terlibat dalam apa juga pertikaian politik atau menyebelahi mana-mana pihak di negara ini.
“Setiap tindakan yang diambil adalah mengikut lunas undang-undang dan peraturan sedia ada. Jadi saya nasihatkan semua pihak supaya tidak mengheret atau membabitkan polis dalam apa juga isu parti politik hanya untuk melunaskan agenda masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Mac lalu, program dialog yang sepatutnya berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, menemukan dua pemimpin itu dibatalkan kerana tidak mendapat kebenaran polis.

– SH

.