NAZIR RAZAK KINI DALAM LEMBAGA KELAB QPR

PETALING JAYA – Datuk Seri Nazir Razak dilantik sebagai ahli lembaga pasukan bola sepak Queens Park Rangers (QPR).

Dalam satu ‘posting’ di Instagram pada Sabtu, Pengerusi Kumpulan CIMB itu berkata, ia merupakan cabaran baharu yang menarik buatnya.

“Cabaran baharu yang menarik dan selagi saya berada dalam lembaga, saya akan lakukan yang terbaik untuk QPR,” katanya dalam ‘posting’ berkenaan yang turut disertakan dengan paparan skrin artikel West London Sport.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang dilantik dalam lembaga di Loftus Road adalah akauntan bertauliah, Datuk Seri Johan Raslan yang merupakan bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia.

Kedua-duanya menyertai Pengerusi QPR, Tan Sri Tony Fernandes, Amit Bhatia, Ruben Gnanalingam dan Datuk Kamarudin Meranun dalam lembaga QPR Holdings Ltd yang merupakan syarikat kumpulan bagi kelab bola sepak tersebut.

Menariknya, Nazir merupakan penyokong kelab bola sepak Chelsea, yang melihat QPR sebagai pesaing tradisi bagi kelab berkenaan.

Ketika ini QPR berada pada kedudukan ke-15 dalam liga Kejuaraan selepas beberapa tempoh dalam Liga Perdana Inggeris, semasa musim 2011-2013 dan sekali lagi pada musim 2014-2015.

http://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2016/11/27/nazir-razak-qpr/

MSTAR

.