Nazir puji Indonesia selepas bawa pulang berbilion dana dari S’pura

Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak hari ini memuji kerajaan Indonesia atas kejayaan membawa pulang berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat daripada hasil cukai melalui program pengampunan cukai.

“Keputusan luar biasa dalam pengampunan cukai …Kebangkitan Indonesia sekali lagi,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada pentadbiran Joko Widodo di Instagram.

Sekitar AS$10.5 bilion telah dihantar pulang ke Indonesia berikutan langkah pengampunan cukai, kata pejabat cukai Indonesia.

Dianggarkan AS$273 bilion aset milik rakyat Indonesia yang sebelum ini tidak diisytiharkan milik Indonesia berada di luar negara.

Keuntungan yang diraih oleh Indonesia dari program pengampunan cukai telah menyebabkan banyak negara lain menawarkan program yang sama.

Kejayaan dasar Indonesia, bagaimanapun, telah meletakkan Singapura di kedudukan tidak selesa kerana 57 peratus daripada jumlah yang terkumpul datang dari Singapura, pejabat cukai Indonesia dilaporkan berkata.

Ia menumpukan semula perhatian ke atas bandar raya itu yang bergelut dalam melindungi reputasi tadbir urus yang baik berikutan kejatuhan 1MDB, lapor The Wall Street Journal.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura pada Julai berkata, kes 1MDB itu ‘menjejaskan reputasi sebagai pusat kewangan yang bersih dan dipercayai’.

– M’kini

.