NASRUDIN: PEMERGIAN MAHFUZ TAK RUGIKAN JEMAAHKVZ.99

Walau pun sedih, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata pengisytiharan anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar keluar PAS itu hanya merugikan diri beliau sahaja.

“Secara peribadi, tentunya saya berasa sedih.

“Saya percaya, jauh disudut hati kecil beliau juga tersimpan rasa yang sukar diterjemah apabila mengambil sikap keluar dari PAS, sebuah jamaah yang beliau anggotai sejak tahun 84 yang lalu,” kata Nasrudin yang mendedahkan Mahfuz awal setahun darinya dalam menyertai parti itu sebagai anggota.

Bagaimanapun, anggota parlimen Temerloh itu menghormati keputusan Mahfuz yang mengumumkan keluar dari PAS berkuat kuasa tengah malam ini.

“Namun, itu hak peribadi beliau dan juga hak demokrasi yang ada pada beliau.

Tak rugi jamaah

“Cuma dari sudut jamaei, pemergiannya tidaklah merugikan jamaah.

“Sebaliknya individu yang meninggalkan jamaah itulah yang rugi,” kata Nasrudin dalam kenyataan yang dimuat naik dalam hantaran status di Facebook malam ini.

Beliau juga berkata Mahfuz gagal menghayati pendekatan terkini PAS sehinggakan beliau membuat tanggapan yang salah terhadap PAS.

“Pemimpin pergi dan datang.

“Perjuangan Insyaallah kekal di atas paksinya iaitu Islam,”

“Kelihatan beliau sendiri tidak sabar mahu meninggalkan jamaah ini,” katanya.

Mahfuz membuat pengumuman keluar PAS dalam sidang akhbar yang diadakan di Alor Setar hari ini dan disiarkan secara langsung di Facebook AMANAH negeri Kedah.

Turut sama mengambil keputusan meninggalkan PAS ialah isteri dan anak-anaknya.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata beliau belum memutuskan parti mana yang akan disertainya kelak.

Mahfuz sebelum ini merupakan salah seorang pemimpin PAS yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan khususnya AMANAH.

Kecenderungan itu menyebabkan beliau digelar sebagai ahli kumpulan ‘Harum Manis’ dalam parti Islam itu. Harum Manis merujuk kepada buah mangga yang berwarna hijau di luar tetapi berisi oren di dalam yang terkenal di Perlis.

Harumanis busuk jatuh

Manakala itu, dalam perkembangan yang sama Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memilih untuk menyindir Mahfuz dalam status beliau di Facebook.

“Harumanis bila dah busuk, dia jatuh sendiri dan pada waktu itu sekupang pun orang tak tak mahu beli.

“Jangan jadi seperti ayam betina, bila bertelor dia sendiri terkejut dengan telornya, riuh sekampung. Namun tiada siapa pun peduli kecuali jenis ayam juga,” kata Tuan Ibrahim.

Pada Oktober lalu, PAS Kedah menggugurkan Mahfuz daripada senarai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

– M’kini

.