NASRUDIN: KENYATAAN TENG DANGKAL, TAK BERTANGGUNGJAWAB

PAS menyifatkan kenyataan Naib Pengerusi DAP Selangor,  Datuk Teng Chang Khim sebagai dangkal dan tidak matang dengan mengingatkan PAS supaya tidak mencampuri urusan penganjuran pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’.

Ketua Penerangannya,  Nasrudin Hassan berkata, tindakan Teng menempelak PAS itu adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Apabila mereka menempelak kita supaya jaga Kelantan saja, itu satu kenyataan yang dangkal,  tidak bertanggungjawab.  Bersifat kebudak-budakan dan tak cerdik dalam berpolitik.

“Mana boleh kita sebagai sebuah parti hanya terhad untuk satu negeri sahaja.  Kalau begitu tak ada maknalah penglibatan kita dalam politik tanah air

“Nanti boleh kita kata Selangor jaga Selangor,  Pahang jaga Pahang?  Mana konsep persekutuannya, undang-undang dan perlembagaannya. Kenyataan itu tak matang, ” katanya dalam sidang media selepas berakhir hari pertama perhimpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, malam tadi.

image: https://i.malaysiakini.com/1160/ab2bf6016d1af8c06dce29692d361ec7.jpeg

Semalam, Teng mengingatkan PAS supaya menangani masalah sosial di Kelantan yang merupakan negeri yang ditadbir parti itu.

Menurut Teng, kadar AIDS di negeri itu adalah lebih tinggi berbanding Selangor walaupun pesta arak tidak dianjurkan di negeri Kelantan.

“Adakah PAS mahu jadi hero? Pemimpin PAS terutama di Kelantan jaga tempat (negeri) sendiri, jaga tempat mereka dahulu,” Teng dilaporkan berkata.

Sementara itu Nasrudin berkata, pihaknya melihat pesta arak bertujuan untuk mempromosi minuman beralkohol secara terbuka kepada semua.

Katanya, ia sebagai satu langkah mempersenda dan mencabar sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Ini kita tidak boleh benarkan. Soal kalau agama mereka membenarkan minum arak dan mereka nak minum secara tertutup,  itu hak mereka.

“Memang kita tak pernah ganggu pun,  tetapi apabila mereka nak mengadakan pesta dengan begitu terbuka, memperkenalkan pula pelbagai jenama. Maka saya kira ini adalah satu tindakan yang terlalu angkuh untuk mencabar sempadan sensitiviti umat islam,” katanya.

image: https://i.malaysiakini.com/1122/e4beb6ee64a76cef9274032b608bf6bf.jpeg

Beliau yang juga anggota Parlimen Temerloh mempersoalkan mengapa secara tiba-tiba minuman keras itu mahu diperkenalkan sedemikian.

“Dalam keadaan arak yang mempunyai implikasi yang lebih besar kepada kesihatan dan mental masyarakat, saya kira langkah itu tidak wajar,” tegas Nasrudin.

Sebelum ini,  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  menolak permohonan penganjuran pesta itu atas faktor keselamatan.

Pesta tersebut dicadang diadakan dua hari mulai 6 Oktober di Publika Shopping Gallery di Kuala Lumpur dan penganjur kemudiaan didakwa membuat permohanan baru kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

PAS pada Rabu lalu bagaimanapun menegaskan bahawa parti itu akan teruskan bantahan sekiranya pihak bekuasa memberi kelulusan tersebut.

– M’kini

.