NASIHAT UNTUK NAJIB SEBELUM LAWAT WHITE HOUSE

PERDANA Menteri Najib Razak disaran memberi perhatian kepada isu negara berbanding hal kepentingan peribadinya ketika lawatan bertemu presiden Amerika Syarikat (AS) di White House nanti.

Pemimpin PKR Sim Tze Tzin berkata, ini kerana Najib dilihat terdesak dengan menjual aset negara kepada pihak luar dalam cubaan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Beliau menjual loji penjanaan kuasa, tanah strategik dan pelabuhan penting kepada negara luar. Kami mendesak agar perdana menteri tidak mengulangi perkara itu dalam lawatannya ke AS nanti,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Najib dijangka bertemu Donald Trump pada 12 September ini dan akan menjadi pemimpin Asia keempat bertemu presiden AS yang tidak sampai lapan bulan mentadbir negara itu.

Pembangkang percaya pertemuan Najib dan Trump diselubungi bayang-bayang 1MDB akan mempengaruhi sebarang potensi keuntungan yang mungkin diperolehi.

Pemimpin DAP Tony Pua pada Ogos lalu berkata Najib akan cuba menggunakan lawatan itu untuk menyelesaikan masalah berkaitan 1MDB serta siasatan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) tetapi berdepan kesukaran disebabkan kebebasan institusi di negara itu.

“Pertemuan Najib dengan Presiden Trump hanya perlu melibatkan hal hubungan bilateral sahaja.

“Terdapat banyak spekulasi sama ada perdana menteri akan membangkitkan hal siasatan DoJ yang berkaitan dengan keluarganya, rakan sekutunya dan Malaysia Official 1 (MO1) dalam pertemuan ke White House nanti,” katanya.

Sim yang juga pengarah strategik parti itu berkata, lawatan Najib ke AS sebelum ini membawa masuk 100 kereta Tesla yang tidak menjadi keperluan rakyat Malaysia.

Najib mengumumkan kerajaan akan membenarkan pengimportan 100 unit kereta Model S, sedan elektrik premium.

Kereta tersebut dianggarkan berharga RM400,000 seunit yang menyamai kenderaan berkapasiti enjin 5.0.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu juga menambah, Trump kini sedang terdesak untuk mengimbangkan kekurangan dagangan antara AS dan Malaysia serta mahu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk AS sejajar dengan MAGnomics beliau (Make Americans Great Again Economics).

Justeru, demi mencapai objektif beliau, Trump kemungkinan besar akan menjual senjata kepada Malaysia kerana sebelum ini beliau telah menjual senjata kepada Arab Saudi (AS$110 bilion) dan Taiwan (AS$1.42 bilion).

“Semalam beliau baru saja umumkan untuk membenarkan Jepun dan Korea Selatan untuk membeli lebih banyak senjata.

“Kami mahu mengingatkan Najib yang ancaman keselamatan negara kita adalah kumpulan pengganas serantau yang tidak mempunyai akses terhadap senjata canggih.

“Memandangkan ekonomi kita tidak memberangsangkan dan beban hutang yang tinggi, tiada keperluan membeli senjata canggih yang mahal dari AS,” katanya.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.