NASIHAT UNTUK ISKANDAR ABDUL SAMAD

KLANG – Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad dinasihatkan agar menghentikan sikapnya yang suka menimbulkan konfrontasi dengan kerajaan persekutuan lebih-lebih lagi dengan tindakan kerajaan pusat yang pantas turun padang dalam menangani permasalahan rakyat di Selangor.

Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, Iskandar sendiri mengakui jangan ada konfrontasi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Namun melalui kenyataan yang dibuatnya, saya nampak beliau sendiri yang cuba mewujudkan konfrontasi antara kerajaan negeri dan juga persekutuan.

“Oleh itu, saya ingatkan beliau agar terus buat kerja dan jangan cakap banyak. Kalau nak bantu rakyat sila tunjukkan, jangan gelabah bila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar turun padang,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan Iskandar agar kerajaan persekutuan menghentikan konfrontasi dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Pemuda Umno Bahagian Shah Alam di Dewan Serbaguna Kampung Kuantan, di sini hari ini.

Menurutnya, konfrontasi yang diwujudkan kerajaan negeri makin jelas melalui tindakan mereka mengenakan premium yang tinggi ke atas tanah bagi pembinaan Balai Bomba di Setia Alam.

“Saya nampak mereka sengaja letak premium yang tinggi seolah-olah sengaja mahu menyusahkan kerajaan persekutuan yang berusaha untuk membantu penduduk di Setia Alam dan persekitaran mewujudkan Balai Bomba di situ.

“Mereka sedia maklum kerajaan persekutuan sudah keluarkan bajet, pemaju pula sudah serahkan tanah kepada kerajaan negeri untuk kelulusan balai bomba, jadi mereka perlu mempermudahkan usaha itu demi kebajikan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa selama dua penggal kerajaan Pakatan Harapan memerintah Selangor, aspek kebajikan rakyat tidak diberi keutamaan khususnya di Shah Alam apabila sehingga kini mereka gagal menggantikan tangki air yang baru apatah lagi membaikpulih yang sedia ada.

Terdahulu, Iskandar melalui satu kenyataan media berkata, kerajaan negeri akan membatalkan keistimewaan yang diberikan kepada Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) jika kerajaan pusat terus mengambil sikap berkonfrontasi dengan kerajaan negeri di dalam isu-isu perumahan.

Iskandar turut mendakwa kerajaan pusat dilihat lebih berminat untuk menyerang kerajaan negeri berbanding menyelesaikan masalah rakyat khususnya dalam isu pengurusan PPR Taman Putra Permai.

– SH

.