‘NASIHAT SEKALI DAP DAN AMANAH, BUKAN PAS SAHAJA’

SHAH ALAM – “Kalau nak nasihat Pas, nasihat sekali ‘kawan dia’ DAP, Amanah.. .beritahu jangan cuba jatuhkan Pas di Kelantan,”.

Demikian respons Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berhubung kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menasihati Pas supaya berfikir kembali untuk bertanding di kerusi Permatang Pauh.

“Kami (Pas), tetap fokus lawan BN, jadi jangan hentam Pas sangat… Pas tak serang orang selagi mana orang itu tak menyerang Pas, perlu ingat kita ada agenda parti, ada program strategik,” katanya kepada Sinar Online.

Terdahulu, Izzah dipetik berkata, Pas perlu fokus melawan Barisan Nasional (BN) kerana sekiranya mereka mahu meneruskan hasrat itu, ia dikhuatiri mengelirukan pengundi.

Ia respons kepada hasrat Pas yang mahu bertanding semua kerusi di Permatang Pauh.

Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Idris berkata, Pas sentiasa istiqamah dalam perjuangan mereka untuk menentang BN.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas Permatang Pauh, Jamsari Samad berkata, umum mengetahui kerusi untuk ketiga-tiga Dun dan Parlimen Parlimen Permatang Pauh dimiliki oleh Pas namun atas semangat toleransi Pas memberi keizinan kepada PKR untuk meletakkan calon.

Katanya, untuk PRU akan datang, Pas akan bertanding di kerusi Dun Seberang Jaya, Penanti, Permatang Pasir termasuk meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

“Kami juga berhak meletak calon ketiga-tiga Dun dan Parlimen kerana kami tiada apa-apa ikatan dengan Pakatan Harapan Pulau Pinang lagi,” katanya.

Amanah Pulau Pinang sebelum ini menyatakan parti itu berminat untuk bertanding berikutan kerusi di kawasan Dun berkenaan kini dipegang Datuk Salleh Man Mat Aji dari parti Pas.

“Amanah sangat berminat untuk bertanding di kerusi Permatang Pasir kerana Pas bukan lagi salah satu parti dalam Pakatan Harapan. Oleh itu, mengapa kita perlu memberi laluan kepada mereka?

“Memang benar saya berkawan baik dengan Salleh Man tetapi dalam hal parti, polisi perlu diutamakan.

“Tidak kira lah bagaimana baik pun kita dengan orang itu, polisi parti tetap yang pertama kerana beliau bukan lagi dalam Pakatan, melainkan beliau menyertai Amanah,” kata Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

– http://www.sinarharian.com.my/

.