Nasib usul Hadi jadi tanda tanya

Hari pertama sidang parlimen ketiga tahun ini berakhir tanpa kemunculan rang undang-undang persendirian yang mahu dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perbahasan siang tadi ditangguhkan ketika bacaan kedua Rang Undang-undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2016 yang diletakkan pada turutan kedua kertas peraturan mesyuarat.

Perbahanan mengenainya akan disambung esok.

Usul dibawa Abdul Hadi bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) berada di kedudukan keempat susunan aturan mesyuarat.

Keadaan itu dilihat akan mengurangkan peluang usul itu untuk dibahaskan pada beberapa hari akan datang, dan ada kemungkinan ia dikemudiankan oleh rang undang-undang dan usul dariada pihak kerajaan.

Mingu depan perbahasan akan tertumpu kepada isu belanjawan 2017 selepas ia dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat ini.

Perbahasan mengenai hal-hal lain mungkin disambung pada dua hari terakhir sidang kali ini yang dijadual tamat pada 24 November.

Bagaimanapun jika usul Abdul Hadi itu dibahaskan, proses pengundian yang akan berlangung memang menarik untuk dilihat.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata BN sudah mencapai persetujuan bersama berhubung isu itu namun tetap enggan mendedahkan sebarang butiran bagi menjelaskan kenyataan itu.

“Tanyalah pada setiausaha agung BN,” katanya kepada media pagi tadi, merujuk kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata walaupun mereka bersetuju pada prinsipnya usul berkenaan perlu selaras dengan perlembagaan, dan beberapa aspek perlu diperjelaskan.

Nada hampir sama disuarakan Naib Presiden PKR Tian Chua.

Katanya parti itu bersetuju mahkamah syariah di negara ini perlu diperkukuhkan namun usul mahu dibawa Abdul Hadi mengandungi beberapa kekaburan yang perlu diperhalusi.
Kepimpinan DAP bagaimanapun mengelak daripada mengulas mengenai isu berkenaan. Veteran parti berkenaan, Lim Kit Siang (Gelang Patah) meminta wartawan bertanya pemimpim lain untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendirian DAP.

Difahamkan Pakatan Harapan belum lagi mengadakan mesyuarat untuk membincangkan hal berkenaan.

– M’kini

.