NASIB ANWAR SAMA SEPERTI NABI YUSUF – NURUL IZZAH

Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah menyifatkan nasib bapanya sama dengan kisah fitnah yang menimpa Nabi Yusuf seperti disebutkan dalam al-Quran.

Beliau berkata demikian merujuk dakwaan terbaru pengadu dalam kes liwat II, Mohd Saiful Bukhari Azlan semalam yang mendakwa didatangi kenalan rapat bekas ketua pembangkang itu.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai satu lagi fitnah, Izzah yang juga naib presiden PKR berkata keluarganya telah banyak menderita kerana kes tersebut.

“Jelas Saiful memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas juga, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga menderita dengan fitnah ini.

“Nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir sama dengan nasib Nabi Yusuf. Kisah al-Quran menggambarkan Nabi Yusuf minta dia dibersihkan dari fitnah,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Semalam Saiful mendakwa didatangi seorang kenalan rapat Anwar yang meminta beliau memohon pengampunan diraja bagi pihak bekas majikannya itu tanpa menukar pengakuan diliwat.

Saiful, 31 dalam tulisan di Facebooknya mendakwa individu itu turut memohon supaya beliau memaafkan Anwar yang dikatakan kini ‘mungkin sudah insaf atas perbuatannya’.

Saiful juga mendakwa individu itu berkata Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan pengampunan kepada Anwar berdasarkan peruntukan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tulisan itu, Saiful bagaimanapun berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan.
“Apa pun di sudut hati saya terdetik juga, sama ada niat beliau benar-benar ikhlas atau sekadar demi melayakkan Anwar bertanding pada PRU nanti,” kata Saiful.

Anwar, 70, menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman penjara atas tuduhan liwat.

Beliau bagaimanapun secara konsisten menafikan dakwaan itu dan mendakwa menjadi mangsa konspirasi politik.