NARATIF MELAYU TENTUKAN KEPUTUSAN PRU14

NARATIF Melayu dan isu-isu melibatkan kepentingan orang Melayu akan jadi faktor utama yang menentukan keputusan pilihan raya umum ke-14 nanti, kata penganalisis politik.

Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata mana-mana parti politik yang mengemukakan naratif Melayu dan menyelesaikan isu-isu dan kepentingan orang Melayu akan menang pilihan raya.

Jelas beliau, kajian jangka panjang badan itu menunjukkan seorang daripada tiga orang Melayu menitikberatkan soal naratif Melayu untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat.

“Bagi orang Melayu, hal agama dan kepimpinan Melayu sudah lama abadi dalam politik mereka. Ia bukan hanya propaganda, sebaliknya inilah isu-isu yang mereka bincangkan apabila bercakap tentang politik sejak sebelum perang dunia kedua lagi.

“Tukar tarikh, tukar siapa yang cakap. Perdebatannya masih sama. Tahun 1948 dulu juga (sama),” katanya.

Ibrahim bercakap sebagai panel dalam forum “Pertandingan pelbagai penjuru: bencana atau rahmat” anjuran Merdeka Center dan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), di Kuala Lumpur hari ini.

Kajian itu turut menunjukkan bahawa politik Melayu turut memberi kesan kepada parti individu dalam gabungan pembangkang seperti PAS dan PKR.

Ibrahim menerangkan dalam pola pengundian berasaskan kaum, sokongan kaum Melayu berbeza kepada Pakatan Rakyat ketika itu.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-13, kita lihat masyarakat Melayu lebih percayakan PAS dari PKR dan lebih percayakan PKR dari DAP,” kata beliau.

Sentimen sama disokong oleh Pengarah Pusat Kajian Asia IKMAS Dr Faisal S. Hazis yang berpendapat parti pembangkang perlu “mengahwinkan” naratif Melayu dengan polisi “garis tengah” yang dibawa Pakatan Harapan (PH).

“Pada tahun 2011, dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, ada dirujuk perkara seperti hak istimewa Melayu, agama Islam dan sebagainya dalam kerangka polisi bersama pakatan. Tapi menjelang 2013, polisi itu tidak lagi dibawa.

“Umno kemudiannya mengambil kesempatan dengan berkempen bahawa Pakatan telah dikuasai bukan Melayu dan Pakatan hilang banyak kerusi kerana itu,” kata beliau.

Dalam sesi soal jawab, Faisal ditanya mengapa Pakatan Rakyat “membuang” polisi tersebut.

“Mereka mungkin berada dalam ombak politik baru yang menjanjikan polisi menyeluruh, inklusif dan tidak sesuai dengan isu-isu seperti hak Melayu ketika itu,” kata beliau.

Sementara itu, Pensyarah Sekolah Kajian Antarabangsa Rajaratnam, Institut Teknologi Nanyang dari Singapura Johan Sivanamuttu berkata persempadanan semula pilihan raya oleh kerajaan turut menjadikan naratif Melayu lebih penting dalam usaha pembangkang menyaingi Barisan Nasional dan Umno.

“Tahun 1999 dulu ada tsunami Melayu. Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) buat lebih banyak kerusi bercampur untuk pilihan raya 2004.

“Sekarang lebih banyak kerusi berasaskan kaum dibuat kerana hal ini,” kata beliau.

– https://www.themalaysianinsight.com

.