NANNING JADI ‘KOTA MUSANG KING’

NANNING – Nanning kini dikenali sebagai ‘Kota Musang King’ susulan kejayaan penganjuran Festival Durian Malaysia 2017 Nanning (MDF2017) yang berlangsung selama tiga hari di Hang Yang City South Square Nanning, Guangxi, China di sini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, hasil daripada kejayaan itu, beliau bercadang untuk menjadikan festival tersebut sebagai acara tahunan di republik itu.

“Saya telah bercakap dengan Timbalan Datuk Bandar Nanning, Sui Guohua dan beliau sangat gembira dan menyatakan Nanning beruntung kerana sudah mendapat jolokan Nanning sebagai Kota Musang King.

“Sekarang ini sudah ada permintaan bukan setakat Nanning, malah wilayah lain seperti Beijing, Xiamen dan Guangzhou bagi penganjuran ‘roadshow’. Bukan sekadar durian, tetapi kita ada nanas, nangka dan permintaan produk lain berasaskan akuakultur seperti udang.

“Saya difahamkan ada pengunjung yang mengambil cuti sejak semalam dari Shenzhen dan Guangzhou, sanggup menaiki kereta api selama empat jam semata-mata mahu merasai keenakan Musang King. Ia memberi nilai tambah kepada bandar raya ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian MDF2017, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Gabenor Guangxi Zhuang Wilayah Autonomi China, Zhang Xiaoqin; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Duta Besar Malaysia ke Beijing, Datuk Zainuddin Yahya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata, untuk tahun lalu meskipun belum mendapat kelulusan Kerajaan China, Malaysia berjaya memasarkan durian dengan nilai RM134 bilion.

“Kalau kita buat perhitungan jumlah tan sebulan daripada sebuah syarikat dan kita andaikan RM50 satu kilogram (durian). Bayangkan RM50 kilogram 100 tan, kita berjaya memperolehi RM30 juta sebulan.

“Ini bermakna potensinya RM360 juta setahun. Tetapi kalau harganya lebih tinggi dan pelbagai syarikat menyertai, sudah tentu akan jadi besar lagi. Cuma, adakah kita berupaya menghasilkannya mengikut syarat dan keperluan oleh China,” katanya.

Katanya, sekiranya usaha itu dapat direalisasikan, jumlah permintaan hasil pertanian Malaysia ke China boleh mencecah RM12 bilion setahun.

“Sebab itu kita menyasarkan tiga tahun untuk membuat persiapan dan menjelang tahun 2020 kita mesti pergi ‘full gear’ bagaimana mencapai permintaan tersebut.

“Bagi petani Malaysia, ini peluang yang perlu kita rebut. Isu barang mereka tidak ada harga dan pasaran tidak benar. Pasaran itu ada cuma, persiapan kita untuk memenuhi permintaan berkenaan dan ini sumber yang perlu kita rebut,” katanya.

Sementara itu seorang pengunjung, Yv Lin Feng, 31, berkata, dia sudah dua hari berkunjung ke festival itu kerana tidak puas menikmati keenakan Musang King.

“Saya selalu makan durian, tetapi saya tidak pernah rasa Musang King Malaysia. Saya berharap durian ini dapat dibawa masuk secepat mungkin ke China dan tidak kisah dengan harganya,” katanya.

Berkongsi perasaan sama, pengunjung yang dikenali sebagai Chen, 60, berkata, Musang King Malaysia merupakan durian terbaik yang pernah dirasai sepanjang hidupnya.

Katanya, jika ada peluang dia akan berkunjung ke Malaysia untuk menikmati durian di tempat asalnya.

– http://www.sinarharian.com.my

.